Penduduk kemas rumah ala kadar bimbang gelombang kedua banjir

Iklan
Shaari menunjukkan langsir rumah yang masih belum dicuci kerana banyak perkakas yang perlu dikemaskan.

KUALA KRAI - Gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku minggu ini menyebabkan penduduk mengambil keputusan mengemas rumah secara ala kadar bagi mengelakkan kepenatan.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Guchil Empat di sini mendapati penduduk hanya menjemur pakaian dan barang keperluan utama bagi membolehkan mereka berehat selepas penat berdepan banjir.

Iklan
Iklan

Mereka turut mengakui tidak mampu mengemas untuk kali kedua jika berlaku lagi banjir selepas ini

Warga emas, Fatimah Jusoh, 69, berkata, dia sudah lali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak tinggal di kampung itu 40 tahun lalu, namun tahun ini antara yang paling teruk kerana air naik lebih dua meter menenggelamkan rumahnya.

Iklan

"Bumbung rumah tenggelam selepas hujan lebat dalam tempoh kurang dua hari," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Isnin.

Fatimah memberitahu dia terpaksa tinggal di PPS selama enam hari dan pulang untuk melihat perkakas rumah yang ditenggelami banjir.

Fatimah membelek buku agama yang dijemur

Iklan

"Saya hanya menjemur pakaian, tilam dan peralatan yang perlu sahaja kerana ada maklumat berlaku gelombang kedua banjir selepas ini," katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Rosmaini Saat, 31, mengambil pendekatan berwaspada jika ada gelombang banjir kali kedua walaupun sudah selesai mengemas rumah.

Katanya, kediaman rumahnya dinaiki air dan terpaksa berpindah pada jam 4.30 pagi Rabu.

"Saya memandu kenderaan dengan membawa tiga ahli keluarga lain ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Guchil selepas dimaklumkan air sudah mencecah laluan ke jalan utama," katanya.

Jelas Rosmaini lagi, pintu rumahnya terpaksa dibaiki kerana arus air deras dan berharap tidak berlaku banjir kali kedua kerana memerlukan kos untuk membaik pulih beberapa kerosakan.

Rosmaini menunjukkan paras air ketika banjir minggu lalu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Guchil, Shaari Che Wil berkata, kira-kira 4,000 menjadi mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Shaari menerima panggilan daripada penduduk kampung kira-kira jam 3 pagi untuk berpindah ke PPS dan pihak pengurusan terus membuat persediaan bagi tujuan itu.

Jelasnya, ada di antara penduduk termasuk beliau sendiri terpaksa berdepan kerosakan serius termasuk perabot dan peralatan elektrik.

Beliau turut memberitahu, kediamannya digenangi air lebih satu meter mengakibatkan semua peralatan dapur rosak termasuk barangan elektrik.

"Kami mengemas ala kadar sahaja untuk tidur pada waktu malam kerana dijangka berlaku banjir kali kedua.

"Bagaimanapun kami hanya berharap tiada lagi hujan lebat atau gelombang kedua," katanya.