Sultan Selangor titah hakim syarie pegang prinsip keadilan ketika jalankan kuasa

Iklan
Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan watikah pelantikan Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Negeri Selangor kepada Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman (kiri). Foto Bernama

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua hakim syarie supaya sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan menurut Islam ketika menjalankan kuasa kehakiman walaupun dipertikai segelintir pihak.

Baginda bertitah, cubaan sesetengah pihak mempertikai bidang kuasa dan keputusan Mahkamah Syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran Mahkamah Sivil, tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa takut atau bimbang bagi memberikan penghakiman yang adil.

Iklan
Iklan

Sultan Sharafuddin bertitah, perkara itu adalah selaras dengan firman ALLAH SWT yang menyeru kepada hakim yang dilantik supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan seperti terkandung dalam surah al-Maidah ayat 42.

"Dalam kehakiman Islam, setiap keputusan yang dibuat oleh hakim syarie adalah berdasarkan kepada keterangan dikemukakan di mahkamah. Dalam penghakiman juga, hakim syarie hendaklah memastikan keputusan dibuat itu adalah adil dan menunjukkan hikmah kepada semua pihak," titah baginda.

Iklan
Sultan Selangor (tiga, kanan) berkenan mangaminkan doa yang dibaca oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (empat, kiri) ketika Istiadat Menyembah Air Doa Selamat dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana di Bilik Singgahsana Istana Bukit Kayangan pada Isnin. Foto Bernama

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah Selangor, Anggota Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pendaftar Kanan serta Pendaftar Wali Raja di Istana Bukit Kayangan, di sini pada Isnin.

Sultan Sharafuddin bertitah, hakim syariah dipandu dengan undang-undang bertulis antaranya Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Iklan

Pada masa sama, baginda menzahirkan harapan agar hakim syarie dapat memastikan supaya tidak berlaku kelewatan tidak munasabah ketika mengendali dan membuat sesuatu keputusan prosiding mahkamah kerana ia boleh menjejaskan hak serta kebajikan mereka yang terlibat.

Selain itu, baginda bertitah, hakim syarie juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang semasa khususnya berkaitan Perlembagaan Persekutuan yang ada bersangkutan dengan pentadbiran agama Islam negeri.

"Beta ingin berpesan agar hakim syarie sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran perundangan dan hukum syarak untuk memperkasakan kehakiman Islam," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan setiap pendaftar nikah, cerai dan rujuk orang Islam yang dilantik menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam supaya sentiasa mengamalkan integriti tinggi dan tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pernikahan sindiket yang semakin berleluasa ketika ini.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan melantik Raja Datuk Reza Raja Datuk Zaib Shah sebagai Orang Besar Istana berkuatkuasa pada Isnin.

Baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Negeri Selangor kepada Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman dan Prof Dr Ashraf Md Hashim sebagai anggota Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Sultan Selangor juga mengurniakan watikah lantikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Islam kepada Mohd Farid Hadi Sharif serta Mohammad Khair Zainal, manakala Mohd Zainudin Wan Yusoff dan Mohd Anuar Baharudin sebagai Pendaftar Wali Raja.

Sultan Sharafuddin menitahkan agar mereka yang diberi amanah dan tugas sentiasa memperkukuhkan integriti serta menjalankan tadbir urus terbaik berteraskan kepada nilai-nilai Islam sebenar dan menzahirkan harapan setiap pekerjaan dilakukan didasari sifat taqwa serta beriman kepada ALLAH SWT.

"Marilah kita semua berdoa ke hadrat Ilahi semoga melindungi dan memelihara Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur serta rakyatnya terus dapat hidup aman serta harmoni," titah baginda. - Bernama