IPOH - Perak mengemukakan permohonan dana RM10 juta kepada kerajaan Pusat bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini tahun hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membiayai program dan aktiviti yang dilaksanakan bersama institusi TVET dan pemain industri.
Menurutnya, usaha yang digerakkan melalui jelajah program Tanya Cikgu Saarani tersebut telah mendapat lampu hijau daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Ini bukan setakat turun ceramah sahaja, tetapi kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan akan berjumpa dengan ibu bapa serta pelajar untuk memberi penerangan jelas mengenai peluang dan potensi TVET.
"Kita nak mereka tahu bahawa selain fokus untuk mendapat 10A masuk universiti jadi doktor, arkitek dan sebagainya, mereka juga sebenarnya boleh masuk mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyediakan program TVET.
"Paling penting kita tidak mahu pelajar yang tidak dapat masuk ke universiti ini merasakan peluang untuknya telah tertutup dan hidupnya tidak bermakna, itu salah.
"Kalau ada kemahiran, dia jadi tukang gunting rambut pun dah ok," katanya kepada pemberita sempena siri jelajah akhir Program Tanya Cikgu Saarani 2024 di Stadium Indera Mulia di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Pendidikan Negeri, Safuan Raba’ai.
Saarani berkata, langkah memperkasa bidang TVET itu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi di negeri ini termasuklah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lumut dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Kerian.
Katanya, kejayaan projek tersebut bakal membuka peluang pekerjaan yang sangat luas terutama kepada graduan TVET.
"TVET ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang gagal, ramai graduan kelulusan universiti ada ijazah, masih perlu masuk TVET ambil sijil untuk disesuaikan dengan ijazah yang diperolehi," katanya.
Mengikut rekod, terdapat lebih 100 IPT di Perak dengan 62 daripadanya menyediakan latihan dan subjek TVET.
Sementara itu, Program Tanya Cikgu Saarani 2024 telah melibatkan penyertaan 3,638 pelajar, 967 pendidik, 62 IPT dan 220 sekolah melalui enam siri jelajah di seluruh negeri.