Pemegang polisi insurans umpama sudah ‘diikat’

Iklan
Tidak dinafikan, insurans perubatan penting buat orang ramai ketika ini. Ia amat diperlukan terutama semasa berlaku kecemasan. Foto Bernama

TIDAK dinafikan, insurans perubatan penting buat orang ramai ketika ini. Ia amat diperlukan terutama semasa berlaku kecemasan.

Namun, pemegang insurans perubatan kini dilihat seolah-olah sudah ‘diikat’ apabila sering kali berdepan kenaikan harga polisi. Mereka terpaksa mengikut apa sahaja pertukaran polisi ditetapkan. Bagi yang tidak sanggup meneruskannya, terpaksa mengalah dengan menamatkan polisi mereka.

Iklan
Iklan

Bagi seorang individu yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak, kos premium insurans perubatan sebulan dianggarkan mencecah RM1,000 atau lebih.

Justeru, apabila Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia membuat kenyataan bercadang menaikkan harga premium mulai tahun depan, sudah tentu ia meresahkan.

Iklan

Alasan sama diberikan ialah inflasi perubatan, walaupun syarikat tidak membentangkan jumlah caruman diperoleh dan jumlah tuntutan dikeluarkan untuk menyokong kenyataan tersebut.

Jelas mereka, industri insurans dan takaful menyaksikan kadar inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif yang tidak pernah terjadi sebelum ini iaitu sebanyak 56 peratus dari 2021 hingga 2023 disebabkan peningkatan kos rawatan perubatan dan kemajuan teknologi kesihatan.

Iklan

Agak melegakan apabila Bank Negara meminta syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia tidak membebankan orang ramai.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam sidang Dewan Rakyat berkata, syarikat insurans dan ITO memberi jaminan untuk meneliti semula cadangan menaikkan harga tersebut.

Mereka juga dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian bersesuaian untuk pemegang polisi bagi memastikan mereka terus ada perlindungan.

Walau apa keputusannya selepas rundingan ini nanti, rakyat Malaysia perlu bersedia sekiranya premium insurans perubatan terpaksa juga dinaikkan.

Bagi rakyat Malaysia yang tidak mampu, mereka mempunyai pilihan dengan mendapatkan rawatan perubatan di hospital kerajaan, walaupun mungkin tidak semewah atau selesa di hospital swasta.

Cuma yang lebih penting, rakyat Malaysia perlulah sentiasa menjaga kesihatan dan menjalani cara hidup sihat.

Namun, kita perlu ingat bahawa sihat atau sakit adalah atas kehendak Maha Esa. Jadi, sentiasalah berdoa supaya diberi kesihatan dan dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat.