KEMAMAN - Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kemaman dilanda gelombang kedua banjir.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 739 mangsa daripada 189 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman.
Iklan
Iklan
Kesemua PPS tersebut diaktifkan secara berperingkat bermula jam 10 malam Isnin bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas.
Lapan PPS yang diaktifkan itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh; Balai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Beris Nenas; Balai Raya Kampung Gelugor; SK Pengkalan Ranggon; SK Kemasik; Dewan Sivik Pengkalan Cicar Bukit Kuang; Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol dan Balairaya JPKK Meraga Beris.
Difahamkan pasukan penyelamat antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berusaha membantu memindahkan mangsa banjir ke lokasi selamat.
Sehingga jam 8 pagi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu merekodkan tiga sungai di paras bahaya iaitu daerah Dungun melibatkan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja manakala di Kemaman pula membabitkan Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik.
Selain itu, dua sungai berada di paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman.