KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak boleh menjawab mengenai kewujudan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ia bagi menghormati mahkamah yang telah menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar kes rayuan bekas Perdana Menteri itu bersama Menteri Dalam Negeri dan enam yang lain.
"Saya tertakluk (kepada undang-undang), saya boleh jawab (tetapi) bagi saya masa selepas mahkamah (putuskan), saya akan datang sini (Dewan Rakyat) untuk jawab.
"Sejak bila seorang Perdana Menteri boleh mengulas (keputusan) Lembaga Pengampunan (dan) boleh atau tidak seorang Perdana Menteri ulas keputusan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan pengerusi Lembaga Pengampunan.
"Sehingga kes ini dimuktamadkan dan sehingga Tuanku Agong sendiri perkenan, tidak boleh kita sentuh," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai tindakan kerajaan yang tidak menjelaskan perkara sebenar berkaitan kewujudan Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO itu.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa setiap rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak atau banduan kepada Lembaga Pengampun akan diberi pertimbangan sebelum Yang di-Pertuan Agong putuskan.
"Pada prinsipnya, kita bersetuju atau tidak dengan keputusan mahkamah (melibatkan) hak seseorang merayu, kita tidak boleh nafikan hak untuk pendengaran dalam Lembaga Pengampunan.
"Untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib, adalah munasabah untuk diberi pertimbangan.
"Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda (mesyuarat), saya masukkan sebab ia harus diberi pertimbangan," ujarnya.