Jabatan Amal Pas Raub baik pulih barangan elektrik mangsa banjir

Iklan
Anggota Jabatan Amal Pas membantu membaik pulih barangan elektrik milik mangsa banjir di Raub. Foto ihsan Jabatan Amal Pas Raub

RAUB - Jabatan Amal Pas Kawasan Raub mengambil inisiatif membantu membaik pulih barangan elektrik selain turun padang membersihkan rumah mangsa banjir di daerah itu.

Komandannya, Erinizam Abdul Rahman berkata, khidmat tersebut ditawarkan secara percuma untuk meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, misi cuci pasca banjir Raub diteruskan lagi dengan membuat khidmat baik pulih barangan elektrik milik mangsa-mangsa banjir yang kami bantu tempoh hari.

"Semasa kami menjalankan khidmat mencuci rumah mangsa banjir, kebanyakan barangan elektrik yang telah ditenggelami air tidak berfungsi dengan baik.

Iklan
Mohd Sazili (tengah) bergambar bersama-sama penuntut dan staf selepas Majlis Pelepasan Sukarelawan Misi Skuad Ihsan MADANI KPT-UiTM di perkarangan Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam.

"Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk membantu baik pulih setakat yang kami mampu dengan kadar percuma sahaja, tiada caj dikenakan kepada pemilik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, sebanyak lima peti sejuk, empat mesin basuh dan tiga peti sejuk beku telah berjaya dibaik pulih dan berfungsi dengan baik.

Iklan

Jelasnya, penghargaan juga diberikan kepada Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Paya Besar, Mohd Nor Hisam Muhammad yang juga pakar baik pulih barangan elektrik atas kesudian turun ke Raub bersama dan membantu dalam program tersebut.

"Semoga dengan khidmat yang diberikan ini dapat meringankan beban mangsa banjir daripada terpaksa berbelanja lebih untuk membaiki barangan elektrik mereka.

"Semoga ALLAH SWT memberkati dan menerima segala amal kebajikan kami," tambahnya yang memaklumkan pihaknya juga bersiap-siaga di daerah terbabit untuk berdepan gelombang banjir kedua.


300 sukarelawan UiTM sertai bantuan banjir di Kelantan

SHAH ALAM - Kira-kira 300 sukarelawan menyertai Misi Skuad Ihsan Madani KPT-UiTM bagi membantu mangsa banjir di enam daerah di Kelantan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, misi bantuan itu telah dirancang secara menyeluruh dengan pembukaan bilik gerakan khas dua minggu sebelum pelaksanaannya.

"Persiapan ini memastikan aspek logistik, sumber manusia dan teknikal diuruskan dengan terperinci, menjamin kelancaran operasi di lapangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 5 Disember lalu, Majlis Pelepasan Sukarelawan Misi Skuad Ihsan Madani KPT-UiTM disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi di pekarangan Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam.

Perbincangan strategik turut diadakan bagi melancarkan keberkesanan misi bantuan itu membabitkan Shahrin, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr Hasrol Jono dan Pengarah Akademik Kepolisan UiTM-PDRM, Profesor Madya Dr Basharudin Abdul Hadi.

Pendekatan holistik dirangka dengan memanfaatkan sumber manusia tempatan dari UiTM Kelantan untuk mempercepatkan kehadiran bantuan di kawasan terjejas di samping mengurangkan kos perjalanan.

Shahrin berkata, sukarelawan terdiri dalam kalangan penuntut dan staf UiTM itu bukan sekadar memberi bantuan dalam bentuk material semata-mata.

"Misi ini memberikan peluang kepada penuntut untuk mendekati komuniti terjejas dan memahami penderitaan mereka yang kehilangan kediaman serta harta benda.

"Pengalaman ini bukan sahaja memperluaskan pembelajaran mereka tetapi juga menyemai rasa empati dan tanggungjawab sosial mendalam," ujar beliau.

Beliau turut menasihati sukarelawan terlibat memberi keutamaan terhadap keselamatan masing-masing.

"Langkah berjaga-jaga perlu diambil termasuk mengelakkan kawasan berisiko tinggi dan mematuhi protokol kesihatan bagi mencegah penyakit," jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (Maskum), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, kerjasama erat antara pihak universiti dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat penting dalam usaha menjayakan misi berkenaan.

Ujar beliau, program itu memberi peluang kepada mahasiswa menyantuni masyarakat dan memahami cabaran sebenar dihadapi mangsa banjir selain membentuk peribadi matang dan prihatin.

"Bantuan yang diberikan melibatkan pelbagai aspek termasuk pembersihan kawasan, penyediaan makanan dan sokongan emosi kepada mangsa banjir.

"Kehadiran sukarelawan UiTM menjadi sinar harapan kepada komuniti yang kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerugian besar," tambah beliau.