KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Anwar berkata, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan.
"Memandangkan perkara ini terus berbangkit, saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang (Sultan Ibrahim), pada masa yang difikirkan sesuai oleh Agong, merujuk perkara itu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Tuanku.
"Sebagai seorang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya siapapun berhak untuk diberi pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan 'fountain of mercy'," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) sama ada Anwar bercadang untuk menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang didakwa mengeluarkan titah tersebut untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum.
Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.
Sebagai rekod, Najib, 71, menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Presiden UMNO itu, namun dikurangkan kepada enam tahun dan RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022.
Ringkasan berita:
- Isu Titah Adendum: Anwar Ibrahim membawa isu berkaitan Datuk Seri Najib Razak ke perhatian Yang di-Pertuan Agong.
- Pertimbangan Lembaga Pengampunan: Keputusan bergantung kepada kes, hukuman, sikap di penjara, dan sumbangan Najib.
- Hak Pertimbangan: Semua pihak berhak diberi pertimbangan pengampunan sewajarnya.
- Nasihat Peguam Negara: Semua pihak diminta menghormati proses undang-undang dan mahkamah.