KUALA NERUS - Dalam usaha membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah ini, seramai 150 kakitangan dan pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu membantu membaiki peralatan elektronik yang rosak secara percuma.
Pengarahnya, Muhammad Nasir Samad menyatakan inisiatif itu bagi membantu meringankan beban kewangan mangsa banjir yang kerugian ribuan ringgit susulan pelbagai barangan rumah serta perkakasan elektrik ditenggelami air.
"Antara peralatan yang dihantar termasuk peti ais, mesin basuh, pendingin hawa, kipas, televisyen, ketuhar, cerek elektrik dan seterika.
"Kita telah mulakan program ini sejak 2021 bagi membantu meringankan beban kewangan penduduk terjejas banjir.
"Malah program ini juga kita libatkan pelajar akhir tahun yang sudah memiliki kemahiran dalam bidang teknologi elektrik kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Bantuan Teknikal Program Corporate Social Responsibility Teknikal Ihsan Madani Wira Kesuma Pasca Banjir di Taman Desa Tanjung Damai di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Skuad Ihsan Madani Wira Kesuma Zon Timur, Zamzuri Hassan berkata, program yang dijalankan ini dapat menjimatkan kos perlu ditanggung penduduk yang kerugian akibat kerosakan barangan elektrik.
"Pada masa sama kita mengelakkan pembuangan sisa-sisa elektronik yang menjejaskan persekitaran sedangkan sebahagian daripada peralatan tersebut dalam 70 hingga 80 peratus boleh dibaiki oleh pelajar-pelajar ini.
"Kita telah menerima hampir 200 peralatan elektronik untuk dibaiki termasuk mesin basuh, televisyen untuk dibaiki," ujarnya.
Selain itu, seorang penduduk, Suhaizan Mohamad, 43, melahirkan rasa syukur kerana usaha tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan dialami kerana setiap tahun perlu membaiki peralatan elektronik yang ditenggelami air banjir.
"Barang elektronik milik saya ditenggelami air dan kebetulan ada program seperti ini di mana ia dapat dibaiki secara percuma maka saya boleh berjimat tanpa mengeluarkan duit yang lebih memandangkan kos membaiki ketika ini begitu mahal," ujarnya.
Bagi pelajar ILP Terengganu, Ismail Shamsuddin, 22, menyatakan usaha dijalankan ini bukan sahaja dapat memberi khidmat bakti kepada masyarakat malah meningkatkan kemahiran dirinya dalam membaiki peralatan yang rosak.
"Rasa bangga kerana kita mempunyai kemahiran untuk bantu penduduk di sini malah boleh tingkatkan kemahiran diri serta mengaplikasikan perkara yang dipelajari selama ini di ILP untuk membantu penduduk yang terkesan banjir," jelasnya.