KEMAMAN - Tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya memindahkan empat sekeluarga yang terperangkap dalam bencana banjir setelah kediaman mereka dinaiki air secara mendadak di Kampung Teluk Kalong di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memberitahu kediaman itu dinaiki air sedalam lebih satu meter sekitar jam 3 pagi.
"Pihak bomba segera mengerahkan anggota penyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan khidmat khas menyelamat mangsa terperangkap banjir.
"Kita percaya, hujan terlalu lebat dan paras air sungai yang naik mendadak menyebabkan kediaman penduduk di kawasan berkenaan mula dinaiki air sejak jam 1 pagi.
"Mungkin ketika air melimpah masuk ke dalam kediaman, mereka tidak sedar kerana sedang tidur," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Beliau berkata, antara yang dipindahkan terdiri daripada mangsa banjir berisiko iaitu warga emas dan kanak-kanak.
"Dua anggota bomba menggunakan bot untuk membawa empat mangsa terdiri daripada dua wanita dan masing-masing seorang kanak lelaki dan perempuan keluar ke lokasi selamat," ujarnya.