PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoal kredibiliti tiga pesuruhjaya termasuk Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Tun Md Raus Sharif.
Ini kerana menurutnya, tindakan sivil ke atas Md Raus dibuat sebelum beliau menjadi Perdana Menteri yang ke-7.
"Saya telah saman beliau kerana pada saya beliau telah hilang kelayakan menyandang tugas sebagai Ketua Hakim selepas tamat tempoh," katanya menerusi kenyataan yang diedarkan kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini.
Jelas beliau, dua lagi individu merupakan peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir yang masing-masing dilantik oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai ahli Pasukan Petugas Khas bagi Pulau Batu Puteh.
"Bagaimana seorang yang duduk dalam pasukan petugas khas telah didapati ada kes dalam RCI kemudiannya duduk dalam RCI untuk isu sama?" soal Dr Mahathir.
Ujar beliau, daripada tujuh pesuruhjaya RCI, dua menyatakan tiada salah laku jenayah terhadapnya.
"Tiga kredibiliti mereka diragui, dua lagi pula bersetuju dengan tiga individu berkenaan.
"Bolehkah kita terima laporan sebegini?" soalnya lagi.
Beliau berkata, Mohamed Apandi menyatakan apabila Malaysia menarik balik permohonan semakan dan tafsiran maka Pulau Batu Puteh telah hilang selama-lamanya.
"Pulau Batu Puteh telah lama hilang. Yang sahkan perkara ini 12 Hakim Mahkamah Antarabangsa (ICJ) antara lainnya surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor kepada Setiausaha Kolonial di Singapura seperti di muka surat 44,45 dan 47 laporan RCI," katanya.
Tambahnya, Mohamed Apandi direhatkan sebagai Peguam Negara kerana didakwa cuai dan gagal melaksakan tugas.
"Mengapa Mohamed Apandi sanggup ambil tugas sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas siasat penarikan semakan ini sedangkan beliau tahu ada konflik," jelasnya.
Ujar Dr Mahathir, beliau turut berasa hairan dengan tindakan Kerajaan Madani yang disifatkannya sebagai pelik.
"Begitu juga dalam hal RCI Pulau Batu Puteh. Mula-mula suruh rahsia sehingga media dan orang awam tidak boleh masuk," katanya.
Malah ujar beliau, dirinya dan peguam tidak dibenarkan hadir sepanjang RCI berlangsung selain hanya dibenar masuk semasa dipanggil sahaja.
"Selesai sahaja RCI ini, tiba-tiba kerajaan tuduh saya sembunyi-sembunyi.
"Tetapi mereka adakan RCI ini secara rahsia konon untuk jaga rahsia negara, boleh pula letak laporan RCI ini di Parlimen," katanya.
Menurutnya, laporan RCI itu telah mula tular dalam aplikasi WhatsApp.
"Mulai Khamis minggu lalu hingga hari ini (Selasa) macam-macam orang telah komen, buat tuduhan, buat dakwaan, buat tohmahan dan buat keputusan.
"Sehingga kini saya masih belum dituduh untuk apa-apa kesalahan.
"Belum juga dipanggil oleh polis atas apa-apa laporan mengenai RCI ini," katanya.
Laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada Khamis lalu mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun sama.