NRES, kerajaan Perak kenal pasti tapak santuari gajah

Iklan
NRES melalui Perhilitan bersama kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan Tapak Santuari Gajah Perak di Gerik. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan Tapak Santuari Gajah Perak di Gerik.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha tersebut dilakukan sebagai menangani kejadian gangguan gajah liar di kawasan Gerik dan Pengkalan Hulu.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, kawasan yang dikenal pasti itu berkeluasan kira-kira 78.8 hektar yang akan dibangunkan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

"Bagi perancangan jangka panjang, Jabatan Perhilitan telah membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 (NECAP 2.0) sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan gajah yang lebih menyeluruh.

Iklan

"Ini termasuk mengadakan program kesedaran awam ke arah kewujudan bersama dengan pemegang taruh bagi memberi kesedaran mengenai pengurusan konflik hidupan liar," katanya menerusi jawapan bertulis bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang meminta NRES menyatakan perancangan kementerian dan Jabatan Perhilitan bagi menyelesaikan isu gajah liar di Gerik dan Pengkalan Hulu.

Iklan

Sementara itu, Nik Nazmi berkata antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan bagi menyelesaikan isu tersebut termasuklah menjalankan 23 operasi tangkapan gajah dari tahun 2020 hingga 2024 di Hulu Gerik dan memindahkan kumpulan gajah tersebut ke habitat yang lebih luas, sesuai dan jauh daripada penempatan penduduk.

Jelasnya, tiga unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal turut dibina di Kampung Bukit Sapi - Kampung Batu Reng, RPS Air Banun dan Bersia bagi mengurangkan pencerobohan gajah dalam kawasan penempatan penduduk.

Selain itu katanya, empat unit kolar satelit turut dipasang dalam kalangan kumpulan gajah yang telah dikenal pasti pada tahun 2023 bagi memantau pergerakan kumpulan gajah tersebut bagi membolehkan tindakan pencegahan awal jika kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian.

Beliau berkata, kementeriannya turut melaksana pengayaan habitat dengan mewujudkan dua jenut tiruan di bawah lintasan hidupan liar Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) di Hutan Simpan Temengor, Hutan Simpan Amanjaya dan Hutan Simpan Belum, Gerik bagi mengalihkan perhatian hidupan liar terutamanya gajah supaya tidak melintasi kawasan jalan raya.

Pihaknya turut memasang 144 tiang lampu jenis LED di 17 lokasi kawasan lintasan gajah bagi tujuan pencahayaan dan mengurangkan risiko nahas jalan raya selainmemasang 12 unit papan tanda lintasan gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB).