KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini belum menerima sebarang laporan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Pulau Batu Puteh.
Ia adalah susulan hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang mencadangkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini tiada mana-mana pihak tampil membuat laporan.
"Kita belum menerima sebarang laporan terhadapnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri pelancaran Buku 'Coffee Table' Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hotel Mandarin Oriental di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Dr Mahathir berpandangan laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan seolah-olah mahu menunjukkan dirinya seorang sahaja yang bertanggungjawab.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa beliau tidak membuat keputusan, sebaliknya hanya menyatakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menafikan laporan RCI bahawa beliau telah menipu Kabinet dan tidak membuat keputusan secara sembunyi.
Pada Khamis lalu, media melaporkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir berkaitan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenainya pada 2018.
Dalam laporan setebal 217 itu, suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama serta di bawah Seksyen 418 Kanun yang sama.
Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan.
Laporan yang ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif menyatakan, dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah, Dr. Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.