KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang telah menubuhkan Pusat Pemindahan Sementara Ternakan (PPST) pertama di Malaysia di Kampung Padang Rumbia, Pekan, bagi melindungi haiwan ternakan penternak semasa musim banjir.
Pengarahnya, Datuk Dr. Kamaliah Ghazali berkata, pembinaan PPST yang seluas 4.047 hektar ini adalah hasil aduan penternak yang sering kehilangan ternakan akibat dicuri ketika banjir melanda.
Menurutnya, PPST ini mampu menampung sehingga 50 ekor ternakan untuk tempoh dua minggu hingga sebulan, selain dilengkapi kandang, kawasan makanan, dan fasiliti lain, dengan kos pembinaan berjumlah RM559,731.73.
"Tahun ini, PPST sudah siap dan kita adalah negeri pertama memperkenalkan konsep pusat pemindahan khusus untuk haiwan ternakan.
"Sebelum ini, penternak terpaksa menempatkan ternakan mereka di tepi jalan kerana tiada fasiliti seperti ini. Walaupun ia tidak mematuhi prosedur, kami benarkan atas dasar ihsan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup kajian penghasilan makanan ternakan daripada sisa nanas di Pusat Kemahiran Veterinar, Kampung Mahkota, di sini pada Selasa.
Dr Kamaliah memberitahu, ternakan yang dipindahkan ke PPST adalah yang telah berdaftar dengan jabatan.
Jelasnya, langkah ini penting kerana nilai ternakan seperti lembu yang boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000 seekor dan ia, menjadi risiko tinggi jika dibiarkan jauh dari pemiliknya.
"Jadi, Pekan dipilih sebagai lokasi pertama kerana kawasan ini sering dilanda banjir yang mengambil masa sehingga sebulan untuk surut, berbanding daerah lain yang biasanya pulih dalam tempoh tiga hari.
"Tapi, PPST ini akan dikembangkan ke daerah-daerah lain yang berisiko banjir pada masa hadapan," katanya.
Dalam pada itu, Dr Kamaliah turut menasihatkan penternak lebih peka dengan perubahan cuaca semasa dan tidak menunggu paras air meningkat untuk memindahkan haiwan ternakan mereka.
Katanya, terdapat kes tertentu yang dilaporkan berpunca daripada sikap penternak menunggu hingga saat akhir sebelum membawa haiwan ternakan ke lokasi lebih selamat.
"Kita tahu bila masuk (bulan) Disember, musim hujan, jadi tak perlu nak tunggu sampai laluan dah terkepung dinaiki air, baru nak pindahkan haiwan ternakan mereka.
"Malah, kita juga sedia maklum kebanyakan penternak ada kawasan sendiri untuk letakkan haiwan masing-masing apabila berlaku banjir, namun ada ketikanya mereka tak sempat nak pindahkan kerana air melimpah dan laluan terputus," ujarnya.