Program Jaminan Kerjaya bantu kurangkan kadar pengangguran

Iklan
Wan Rosdi (dua dari kanan) menyampaikan trofi kepada penerima Anugerah Ikon Terbaik Jaminan Kerjaya di Majlis Hi-Tea Logue Bersama Menteri Besar Pahang di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) di Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Program Jaminan Kerjaya di bawah kerajaan negeri Pahang yang berlangsung sejak 2018 berjaya melahirkan 6,273 alumni bekerjaya dan membantu mengurangkan masalah pengangguran di negeri itu.

Berkonsepkan 'Train and Place', program tersebut digerakkan Yayasan Pahang selaku penaja utama manakala YP Advanced Skills sebagai badan pelaksana dan disokong tajaan daripada Yayasan Peneraju, Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang serta SD Guthrie Berhad.

Iklan
Iklan

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu mendapat tajaan sebanyak RM62.16 juta yang menyasarkan golongan belia, asnaf dan pekerja industri berkelayakan di negeri berkenaan.

Wan Rosdi ketika Majlis Hi-Tea Logue Bersama Menteri Besar Pahang di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) di sini pada Isnin.

"Program Jaminan Kerjaya ini terbukti membantu mengurangkan kadar pengangguran khususnya di Pahang.

Iklan

"Program ini berterusan sehingga kini dan terbuka buat anak Pahang mahupun pemastautin tetap di negeri Pahang," katanya ketika Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Empowering De’ Tea Logue Bersama Menteri Besar Pahang, di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) di sini pada Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Pengurus Besar YP Advanced Skills, Nor Liza Abd Mubim.

Iklan

Tambahnya, program tersebut meliputi semua cabang kerjaya seperti gunting rambut, kerja-kerja kemahiran, perladangan dan kursus masakan.

Jelasnya, sebagai Pengerusi Lembaga Yayasan Pahang, beliau melihat agensi itu memainkan peranan baik dalam memangkin program berimpak tinggi terutama kepada anak-anak kurang berkemampuan, Orang Asli, rentan, keciciran dan lain-lain.

"Peranan Yayasan Pahang tidak terhad kepada pemberian biasiswa dan pinjaman pendidikan semata-mata, tetapi ia lebih menyeluruh termasuklah kepada kesediaan anak-anak ke institut pengajian tinggi, program keusahawanan, program tahfiz untuk kanak-kanak hingga warga emas, Program Berasaskan Kemahiran (TVET) dan Program Jaminan Kerjaya turut diberi perhatian," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Wan Rosdy, terdapat alumni Program Jaminan Kerjaya berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM25,000.

"Saya berharap agar semua alumni, badan penaja, rakan industri dan kakitangan YP Advanced Skills terus memberi sokongan dalam misi menjadi sebuah institusi latihan kemahiran profesional seiring teknologi dan pasaran industri serta memenuhi tanggungjawab sosial kepada komuniti.

"Kerajaan negeri juga akan memberi sokongan penuh kepada Yayasan Pahang dan YP Advanced Skills dalam usaha untuk membekalkan dan mengembangkan lagi tenaga mahir khususnya di negeri Pahang dan Malaysia amnya," ujar beliau.

Nazrul

Sementara itu, penerima Anugerah Ikon Terbaik Jaminan Kerjaya, Nazrul Nafiz Roslan, 31, menzahirkan rasa syukur atas pengurniaan penganugerahan tersebut.

Ujarnyanya, dia mengikuti Program Jaminan Kerjaya pada tahun lalu dengan menyertai kursus Perkhidmatan Hospitaliti luar pesisir serta minyak dan gas.

"Sebelum ini saya buat macam-macam pekerjaan termasuk berniaga di tepi jalan dan tukang cuci.

"Alhamdulillah kehidupan saya kini telah berubah dan berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai cef di dalam kapal laut dengan pendapatan RM24,950 sebulan,” katanya yang berasal dari Pekan, Pahang.

Wan Rosdi bersama alumni Program Jaminan Kerjaya di Majlis Hi-Tea Logue Bersama Menteri Besar Pahang di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) di Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, turut dilancarkan portal pencarian pekerjaan dalam talian dikenali sebagai GetJob bertujuan mentransformasikan proses pencarian dan pengambilan pekerja di Malaysia melalui fungsi carian yang efisien serta paparan mesra pengguna.