Jamak takhir: Antara solat Zuhur dan Asar, mana perlu didahulukan?

Iklan
MASIH ramai yang keliru tentang turutan atau susunan sembahyang ketika mendirikan solat jamak. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

BAGI mereka yang diberi rukhsah (keringanan) untuk menjamakkan solat, kebanyakannya akan memulakan sembahyang masing-masing mengikut waktu ketika itu.

Sebagai contoh, jika melakukan jamak takdim, ia akan dimulakan dengan solat Zuhur atau Maghrib terlebih dahulu sebelum mendirikan solat Asar dan Isyak.

Iklan
Iklan

Apabila mendirikan jamak takhir pula, rata-ratanya akan mendahulukan solat Asar dan Isyak terlebih dahulu sebelum menyudahkannya dengan solat Zuhur dan Maghrib.

Namun, ada yang berpandangan sebaliknya. Sebenarnya, apakah turutan atau susunan yang betul ketika menjamakkan solat?

Iklan

Menerusi perkongsian artikel terbaharu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsikan panjang lebar tentang perkara itu.

BAGI mereka yang ingin melaksanakan solat secara jamak takdim, disyaratkan untuk melaksanakan solat mengikut susunan tertib. -Foto: CANVA

Iklan

Bagi mereka yang ingin melaksanakan solat secara jamak takdim, pejabat mufti itu menjelaskan, disyaratkan untuk melaksanakan solat mengikut susunan tertib.

"Misalnya seseorang ingin menghimpunkan solat Zuhur dengan Asar pada waktu Zuhur dalam waktu jamak takdim, jadi dia mestilah menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu, diikuti dengan Asar.

"Ia sebagaimana pandangan yang dinukilkan oleh Ash-Shiekh Sa’id Muhammad Ba ‘Ali yang menyatakan, pensyaratan tertib susunan ketika jamak takdim ini adalah kerana solat waktu kedua (Asar atau Isyak) adalah mengikut solat waktu pertama (Zuhur atau Maghrib).

"Justeru, disyaratkan untuk menyelesaikan waktu pertama terlebih dahulu,” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-875: Susunan tertib solat ketika solat jamak yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan pada Isnin.

Berbeza pula dengan jamak takhir yang mana menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak disyaratkan untuk kita mengikut tertib susunan waktu-waktu solat.

WALAUPUN jamak takhir itu dilakukan tanpa mengikut susunan tertib, kedua-dua solat yang dikerjakan itu tetap sah. -Foto: CANVA

"Ini kerana dalam pelaksanaan sembahyang secara jamak takhir, waktu solat itu secara asalnya adalah waktu bagi solat kedua iaitu sama ada waktu Asar atau Zuhur.

"Jadi tidak disyaratkan mesti melaksanakan solat waktu pertama terlebih dahulu kerana solat waktu kedua ini bukanlah mengikuti waktu solat pertama,” katanya.

Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, digalakkan (mustahab) bagi mereka yang ingin melaksanakan solat secara jamak takhir supaya melaksanakannya mengikut susunan tertib waktu solat.

"Hukum memulakan solat jamak takhir dengan solat waktu pertama adalah sunat,” katanya.