SHAH ALAM - Keharmonian antara lima nilai utama yang diketengahkan menerusi pengisian Surah Al-Saff #SavingTheUmmah dalam usaha menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia.
Pengasas Ibn Ashur Centre, Dr Sohaib Saeed berkata, harmoni perlu diterjemahkan selari dengan perbuatan dan lisan dalam kehidupan seharian manusia, namun tidak dinafikan terdapat juga cabaran yang patut dipandang serius.
Menurut beliau, cabaran tersebut adalah dari segi iman yang goyah, kepura-puraan, penindasan dan halangan dalam menyampaikan dakwah sebenar mengikut Surah Al-Saff ayat 61:2, 61;3, 61;7 serta 61;8.
"Justeru, nilai yang perlu dipupuk sejak usia muda bagi mewujudkan keharmonian adalah hadir ke masjid dan bersolat, bina hubungan penuh makna dengan komuniti serta ALLAH SWT di samping mengamalkan tasbih.
"Selain itu, refleksi diri dengan cara melihat bait-bait kalimah atau terjemahan, memahami sejarah lama seperti mana disebut dalam al-Quran, kenali personaliti diri, jaga hubungan dengan ALLAH SWT serta komuniti.
"Inilah prinsip asas yang kita boleh ambil pengajaran dalam usaha menjaga saf, pastikan iman kita selari dengan tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Al-Saff #SavingTheUmmah yang disiarkan secara langsung bertempat di Studio My #QuranTime, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berpandangan, selain keharmonian, konsistensi dan integriti, kepimpinan dan ketaatan, komitmen kehidupan serta kerjasama atau sokongan sesama umat Islam juga antara teras utama yang perlu diberi penekanan.
Justeru, menurut pentaddabur tersebut, komuniti Islam perlu menghormati sesama sendiri, menyedari manusia adalah sama di sisi ALLAH SWT dan bangkit menentang sebarang ketidakadilan dalam agama.
"Nilai-nilai yang dimaksudkan wajib ditanam dalam diri setiap umat Islam seluruh dunia hari ini.
"Harmoni itu penting. Apabila kita harmoni, umat Islam bersatu dan tiada lagi amalan sesat atau fahaman takfiri dalam komuniti," ujarnya.