KUALA LUMPUR - Dua pekerja binaan warga Bangladesh yang terperangkap dalam kejadian runtuhan struktur kondominium yang dalam pembinaan di Taman Desa, di sini petang tadi berjaya diselamatkan.
Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.47 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian berjaya membawa keluar mangsa pertama berusia 30 tahun pada jam 5.15 petang.
Susulan itu, mangsa kedua berusia 26 tahun berjaya diselamatkan kira-kira jam 9.30 malam selepas tersepit lebih lima jam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
"Alhamdulillah, tugas utama kita untuk menyelamatkan mangsa hari ini sudah selesai. Selepas ini kita akan teruskan siasatan untuk ketahui punca kejadian dan sebagainya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, siasatan awal mendapati bangunan terbabit terjejas dari tingkat satu hingga enam dalam runtuhan.
Katanya, bagaimanapun, pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca utama kejadian terbabit.
"Kita masih menilai struktur bangunan terbabit. Ini berikutan penilaian awal kami yang mendapati struktur binaan di kawasan ini dirasakan tidak selamat.
"Operasi berjalan lancar dengan kerjasama banyak agensi termasuklah polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pihak pembinaan," katanya.
Seramai 150 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi keselamatan termasuk bomba dan polis dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat ini selain ditugaskan mengawasi lokasi berhampiran tempat kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: