MEMBACA surah Yasin pada setiap malam Jumaat boleh dikatakan sebagai suatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan tempat.
Bahkan ada masjid dan surau menganjurkan membacanya secara beramai-ramai selepas solat Maghrib sementara menunggu masuknya waktu Isyak.
Bagaimanapun ada sesetengah jemaah mempersoalkan amalan tersebut. Apakah dibolehkan amalan membaca surah Yasin ini pada malam Jumaat? Apakah ada amalan yang lebih afdal selain surah Yasin?
Menjelaskan persoalan tersebut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa membaca surah Yasin adalah disuruh syarak dan besar pahalanya kerana ia masuk dalam perintah umum oleh agama iaitu anjuran membaca al-Quran.
Ujarnya, dalil membaca surah Yasin itu berdasarkan hadis diriwayatkan Abi Umamah Al-Bahili RA yang mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Bacalah kamu sekalian akan al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi orang-orang yang membacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Katanya, satu lagi hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda bersabda: "Siapa yang membaca (surah) Yasin pada malam hari dengan mengharapkan keredaan ALLAH, maka akan diampunkan (dosa) baginya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani, Baihaqi dan Ibnu Hibban)
"Jika ada orang yang berkata hadis ini hanya menyuruh membaca al-Quran, tetapi ia bukan menyuruh baca Yasin, maka hendaklah kamu berpaling dari orang tersebut kerana jelas orang itu adalah orang yang kurang akalnya.
"Begitu juga jika ada orang berkata hadis ini tidak menyebut baca Yasin pada malam Jumaat dan hanya menyebut pada malam hari sahaja, maka ternyata tersangatan bodohnya kerana malam Jumaat termasuk makna malam yang disebutkan dalam hadis ini,” hurainya panjang di Facebook miliknya baru-baru ini.
Jadi menurutnya, hukum membaca Yasin pada malam Jumaat atau pada mana-mana malam yang berkelapangan secara sendiri atau berkumpulan adalah harus kerana tidak ada dalil yang melarangnya.
"Siapa yang baca Yasin pada malam Jumaat, dia akan mendapat pahala dan siapa yang membaca Yasin pada malam Sabtu juga akan mendapat pahala.
"Begitu juga dapat pahala siapa yang membaca Yasin pada siang hari walau pada hari apa jua pun,” hurainya.
Ujarnya, seperti itulah dihukumkan pada sekalian surah selain surah Yasin.
Ustaz Azhar kemudian mendatangkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidaklah berkumpul satu kaum di salah satu rumah ALLAH (masjid) sambil membaca al-Quran dan saling bertadarus melainkan akan turun ketenangan atas mereka dan rahmat ALLAH akan meliputi mereka. Para malaikat juga akan melindungi mereka dan ALLAH menyebut mereka dalam kalangan makhluk-makhluk yang berada di sisi-NYA.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Siapa yang berkata hadis ini bermaksud bukan malam Jumaat, maka orang itu adalah ahli bidaah yang memandai-mandai membuat hukum kerana jelas pada hadis ini memuji orang yang berkumpul membaca al-Quran secara umum iaitu pada mana-mana waktu sama ada siang, malam, malam Jumaat atau malam yang lain.
"Maka siapa yang berkumpul baca Yasin malam Jumaat, dia akan mendapat kelebihan hadis tersebut,” hurainya panjang lebar.
Apakah Yasin hanya untuk malam Jumaat?
Menjawab persoalan apakah boleh menentukan malam Jumaat sahaja untuk membaca Yasin, beliau berkata, sebaiknya tidaklah menentukan malam Jumaat sahaja untuk membaca Yasin sekalipun ada hadis yang menyebut tentang membaca Yasin pada malam Jumaat.
"Tetapi jika ada orang yang mengkhususkan baca Yasin atau surah yang lain pada malam Jumaat bagi dirinya, maka dia berhak dengan pilihannya itu dan dia mendapat pahala dengan sebab amalannya itu.
"Siapa yang berkata tidak dapat pahala maka wajib atasnya mendatangkan dalil,” ujarnya.
Tambahnya, siapa yang mengatakan Yasin hanya boleh dibaca pada malam Jumaat sahaja, dia adalah ahli bidaah yang membuat hukum sendiri.
Pendapat ulama mengenai hadis daif
Walaupun hadis baca Yasin pada malam Jumaat itu berstatus daif (lemah), Ustaz Azhar menjelaskan ulama berselisih pendapat dalam hal ini.
Katanya, bagi hadis daif, ulama seperti Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, An-Nawawi, As-Suyuti, Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan ulama moden seperti Syeikh Dr Saaid Ramadhan Al-Buti membolehkan beramal untuk amalan sunat sahaja dan ini pendapat jumhur ulama.
Imam Hanbali dan sebahagian ulama Hanafi pula membolehkan beramal dengan hadis daif secara mutlak jika tiada hadis sahih, ujarnya.
Pendapat Ibnul ‘Arabi pula berpendapat tidak boleh beramal dengan hadis daif.
Timbul persoalan apakah beramal dengan hadis daif itu dikira bidaah? Ustaz Azhar menjelaskan, bidaah bermaksud beramal tanpa dalil.
"Hadis daif termasuk dalil sekalipun ia tidak sekuat dalil hadis sahih atau hasan.
"Tidak ada seorang pun daripada kalangan ulama yang pernah menyebut bahawa beramal dengan hadis daif adalah bidaah. Siapa yang berkata seperti itu, maka dialah sebenarnya ahli bidaah,” jelasnya.
Tambahnya, jumhur ulama mengharuskan beramal dengan hadis daif pada amalan-amalan sunat, maka siapakah kita mahu membantah?
Menjawab persoalan surah apa yang afdal dibaca, beliau menjelaskan, semua surah sunat dibaca pada malam Jumaat kerana perintah yang umum tetapi paling afdal dibaca ialah surah al-Kahfi berdasarkan hadis:
"Barang siapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan terpancar cahaya baginya antara dua Jumaat.” (Hadis Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Katanya, hadis ini memberitahu afdal membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan bukan melarang membaca surah lain pada malam tersebut.
"Siapa yang menggunakan hadis ini untuk melarang manusia membaca surah lain pada malam Jumaat, maka dia adalah ahli bidaah dan jahil,” katanya.
Bagi orang yang sudah biasa mengamalkan bacaan Yasin pada malam Jumaat, pendakwah itu berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan kepada mereka dan apa yang amalkan selama ini mendapat pahala cuma afdal dibaca pada malam Jumaat adalah surah al-Kahfi.
Baca al-Quran setiap hari
Sebagai kesimpulannya, Ustaz Azhar menasihatkan, bacalah al-Quran pada setiap hari sama ada sedikit atau banyak.
"Bagi yang sudah mengamalkan Yasin pada malam Jumaat, teruskanlah dan tambah satu lagi surah iaitu al-Kahfi kerana sepakat ulama pada afdal membacanya pada malam Jumaat.
"Baca juga surah Yasin dan surah-surah yang lain pada malam-malam selain Jumaat atau siangnya apabila berkesempatan kerana pasti akan mendapat ganjaran besar di sisi ALLAH SWT,” katanya.
Jelasnya lagi, berhati-hatilah dengan orang yang berpura-pura alim tetapi sebenarnya dia hanyalah seorang jahil.
"Siapa yang mengkritik orang yang membaca Yasin atau al-Quran itu sebenarnya dia tidak membaca al-Quran kerana jika dia membacanya, nescaya kalamullah itu akan mendidik dirinya menjadi manusia yang baik kepada orang Mukmin,” katanya.