SHAH ALAM - Sinar Harian bakal menganjurkan wacana khas sempena ulang tahun kedua Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis ini.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, program tersebut menjadi sebahagian laporan komprehensif akhbar berkenaan mengenai kad laporan prestasi dua tahun kerajaan di semua platform termasuk digital dan program bual bicara.
Membawa tajuk 'Dua Tahun Madani: Ke Mana Ekonomi dan Potensi Malaysia?', wacana khas tersebut menampilkan tiga panelis yang akan memberi pandangan dari prespektif kerajaan, pihak swasta dan orang awam.
"Wacana ini istimewa dan berbeza daripada wacana mingguan kerana kebiasaannya, kita mengupas isu semasa dan perihal politik.
"Kali ini, ia diadakan sempena dua tahun Kerajaan Perpaduan yang genap usianya pada November lalu," katanya.
Wacana khas yang bakal bersiaran di semua platform digital Sinar Harian pada 12 Disember ini menampilkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh, Azmi Zainal serta Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Dalam pada itu Zamri memaklumkan, program yang berlangsung di Dewan Karangkraf jam 2 petang itu terbuka kepada orang ramai untuk turut serta bertanyakan sebarang soalan secara langsung kepada barisan panelis.
"Wacana khas ini terbuka kepada 200 tetamu terawal untuk bersama-sama memeriahkan selain berpeluang mengajukan soalan kepada panelis jemputan.
"Saya berharap barisan panel dapat mengupas mengenai pencapaian dan potensi ekonomi Malaysia di bawah Kerajaan Madani yang menjadi petunjuk penting mengukur prestasi kerajaan," ujarnya.