Perlis perkenal Bestari Anjung Madinah

Iklan
Mohd Shukri (tujuh dari kiri) selepas selesai hari pertama Pembentangan Belanjawan Perlis tahun 2025 pada Selasa.

KANGAR – Kerajaan Perlis memperkenalkan Perlisku Bestari Anjung Madinah sebagai satu inisiatif progresif yang berasaskan model Madinah al-Munawwarah dan menekankan keadilan serta inklusiviti sosial.

Perkara tersebut dibentangkan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sempena Belanjawan 2025 yang bertujuan memupuk perpaduan kaum dan agama berlandaskan semangat persaudaraan dan toleransi serta memberi penekanan kepada prinsip Islam yang menyeluruh dalam tadbir urus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai langkah proaktif, kerajaan akan melancarkan projek rintis untuk menjalin hubungan lebih dekat dengan bandaraya Madinah.

"Antara inisiatif strategik ialah mewujudkan Program Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Perlis-Madinah yang menghubungkan institusi pendidikan, pusat kebudayaan, dan komuniti antara kedua-dua tempat.

Iklan

"Program ini merangkumi kerjasama universiti untuk penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta latihan kepimpinan Islam,” katanya yang membentangkan Belanjawan 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.

Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri juga menjunjung titah Tuanku Raja Perlis yang menyeru agar disediakan kemudahan masjid dan surau di setiap kawasan pintu sempadan Negeri Perlis dan pihaknya komited dalam merealisasikan usaha ini.

Iklan

Menurutnya, melangkah ke tahun 2025, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menaik taraf Masjid Padang Besar Lama.

Mohd Shukri sebelum membentangkan Belanjawan 2025 di Sidang DUN Perlis pada Selasa.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan keselesaan dan kesempurnaan pengalaman beribadat di Perlis.

"Selain itu, peruntukan sebanyak RM750,000 juga disediakan untuk kerja-kerja pendawaian semula elektrik di lima buah masjid yang telah dikenalpasti, iaitu Masjid Al A'la di Behor Temak; Masjid Al Mustaqim di Seriab; Masjid Jamek Kampung Binjal di Utan Aji; Masjid Mahmudiah di Bukit Keteri; dan Masjid Ar Ridha di Panggas,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri terus berusaha memperkukuh amalan keagamaan dan keharmonian masyarakat melalui pelbagai inisiatif komprehensif, antaranya adalah Kempen Jom Solat yang menitikberatkan kefarduan solat lima waktu.

Menurutnya, kempen ini dilaksanakan melalui pemasangan papan tanda dengan mesej ringkas seperti"Nak Berjaya Jom Solat," serta program Jaulah Subuh di mana kepimpinan negeri akan turun solat subuh berjemaah bersama di masjid-masjid terpilih.

"Selain itu, Kerajaan akan melaksanakan Program Bulan Solat, Al-Quran, Ihya Ramadan dan Infaq sebagai pendekatan bersepadu yang mengintegrasikan galakan solat berjemaah, kesedaran infaq, dan penghayatan Ramadan dalam satu rangkaian program yang berpusat di masjid sebagai hab komuniti.

"Pendekatan ini bukan sahaja menghidupkan masjid tetapi juga memupuk rasa kebersamaan dan membangunkan kesedaran sosial yang lebih luas dalam kalangan rakyat Perlis,” jelas beliau.

Mohd Shukri memberitahu, dalam komitmen terhadap pembangunan modal insan secara tersusun, Kerajaan Negeri akan melancarkan Kem Anakku Bestari dan Kem Remaja Bestari peringkat negeri Perlis.

Ujarnya, selain itu, Program Inspirasi Rohani, Halaqah Ilmiah, dan Bicara Dhuha akan terus dijalankan bagi meningkatkan pengetahuan serta penghayatan penjawat awam dan masyarakat umum terhadap nilai-nilai murni.