SHAH ALAM - Berdepan dengan haiwan berbisa bukan satu perkara yang mudah, namun tidak bagi seorang lelaki lingkungan 50 tahun yang dikenali sebagai Bob Janggut berjaya ‘menjinakkan’ seekor ular senduk dalam tempoh kurang dua minit.
Seorang peniaga, Mohd Shafiq Johari, 40, berkata, lelaki berkenaan merupakan ‘penyelamat’ dia sekeluarga apabila ular tersebut memasuki kawasan rumah.
"Mula-mula saya ingat ular biasa (tidak berbisa)... tapi apabila tengok, rupa-rupanya ular senduk. Disebabkan tahu ia berbisa, saya terus hubungi Bob Janggut.
"Alhamdulillah, dengan bantuan Bob Janggut, ular tersebut berjaya ditangkap dalam tempoh kurang daripada dua minit,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
Tambahnya, Bob Janggut seumpama ‘bomba’ kerana sering dihubungi oleh penduduk kampung jika ada hal berkenaan ular.
Menurut Mohd Shafiq, lelaki itu mempunyai sijil pentauliahan daripada bomba membabitkan haiwan tersebut.
"Kalau tengok video yang saya muat naik di TikTok, kita boleh tengok dia (Bob Janggut) memiliki skil menjinakkan haiwan berbisa.
"Jika orang biasa (tiada kemahiran menangkap ular) agak mustahil untuk kita pegang dan mendekatinya,” ujar bapa kepada empat orang anak itu.
Pada masa sama, Mohd Shafiq turut menzahirkan kegusaran terhadap ahli keluarganya kerana bimbang haiwan berbisa itu muncul sekali lagi.
"Rumah saya ini terletak bersebelahan dengan sawah, jadi tidak mustahil jika ada ular yang menyorok di rumah.
"Sering saya ingatkan kepada isteri untuk sentiasa perhatikan sekeliling sebelum keluar dari rumah,” katanya.