KUALA TERENGGANU - Empat nelayan dari Kampung Losong di sini diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu petang tadi selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Kesemua nelayan, Azwan Yusof, 36, Walik Hafizul Walek @ Raffa, 35, Hanafi Nasrizal Hamtha, 26, dan Mohd Faizan Musa, 29, ditemukan di kedudukan 55 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada jam 5.15 petang tadi.
Iklan
Iklan
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan sejurus menerima laporan kehilangan mereka pada jam 10 malam kelmarin.
"Sebaik menerima aduan, kita segera menggerakkan kapal Maritim KM Gemia dan KM Jujur untuk pencarian tersebut yang mana kawasan mencari dan menyelamat meliputi 63 batu nautika dari perairan Terengganu.
"Hari ini masuk hari kedua SAR, kita berjaya menjumpai bot nelayan kelas A dinaiki kesemua mangsa dalam keadaan selamat.
"Semasa ditemui, mereka dilihat agak keletihan sebelum diberi makanan dan rawatan awal," katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Pulau Kambing di sini malam ini.
Menurut Arifin, pihaknya dimaklumkan oleh mangsa yang bot terbabit menghadapi masalah bateri menyebabkan enjin tidak dapat dihidupkan sebelum dihanyutkan.