KEJAYAAN Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menganjurkan dua festival seni untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) telah mendapat perhatian dan kepercayaan Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D. Jacob.
Isaiah yang bertanggungjawab ke atas golongan OKU, telah memilih Karyawan sebagai persatuan yang akan membantu kerajaan dalam penubuhan sebuah Akademi Seni khas untuk golongan OKU.
Jelas Isaiah, akademi tersebut akan memberi tumpuan khusus kepada golongan OKU yang ingin menceburi bidang seni sebagai bidang kerjaya pilihan mereka.
"Saya telah pilih Karyawan untuk diberi tanggungjawab ini kerana saya melihat mereka begitu komited membantu orang OKU yang berbakat dalam bidang seni.
"Mereka telah dua kali anjurkan Fesival Seni Khas untuk golongan OKU dengan jayanya dan saya difahamkan bahawa Karyawan sentiasa membantu OKU yang berkecimpung dalam bidang seni, seperti buskers, seniman jalanan dan pemuzik,” ujarnya.
Beliau telah menyatakan hasrat itu pada Majlis Perasmian OKU Fest atau Festival Seni Insan Istimewa di Panggung Bandaraya baru-baru ini yang membawa tema ”My Ability Is Stronger Than My Disability”.
Menyambut baik kepercayaan itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berjanji akan terus berusaha untuk membantu golongan OKU yang akan menyertai Akademi Seni tersebut pada masa akan datang.
"Kami akan terus berusaha untuk menentukan Akademi Seni OKU itu dapat ditubuhkan dan mainkan peranan yang penting untuk membangun modal insan OKU yang ada kebolehan dalam bidang kesenian,” katanya.