BARU-baru ini, barangan rumah dan empat kenderaan mewah milik usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida telah disita akibat gagal melangsaikan hutang lebih RM1 juta.
Beliau dilaporkan gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kilangnya di Shah Alam, Selangor yang dijadikan sebuah studio pada 2018 berjumlah RM1,060,285.
Berikutan itu, perintah penyitaan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 November lalu.
Selepas Vida, pelbagai barangan rumah milik aktres sensasi, Rozita Che Wan pula disita pada Selasa.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertindak menyerbu kediaman aktres berkenaan di Kota Damansara bagi membolehkan pihak Mara menilai barangan dalam rumah tersebut selepas selebriti berusia 51 tahun itu gagal menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Kedua-dua kes berkenaan adalah sama - gagal melunaskan hutang atau pinjaman yang telah diberikan.
Tindakan perundangan dilihat adalah jalan terakhir bagi memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula.
Sementara itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan mana-mana pihak yang berhutang wajib membayar pinjaman tersebut kerana akad atau kontrak dimeterai adalah pinjaman, bukannya sedekah.
Beliau dalam kenyataan di laman sosial berkata, Mara tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan.
Menurutnya, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak berkenaan yang sengaja enggan membayar pinjaman sedangkan mereka berkemampuan dan hidup mewah.
Selain Mara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga berdepan ‘kesulitan’ dalam soal mengutip hutang melibatkan seramai 430,000 peminjam, dengan jumlah pinjaman sebanyak RM6 bilion.
Pelbagai alasan diberikan, namun akhirnya peminjam terbabit boleh dirumuskan kepada dua kumpulan iaitu yang tidak mampu membayar balik pinjaman dan yang tiada keinginan membayar balik pinjaman.
Walau apa pun alasan dan situasi dialami, peminjam wajib membayar balik pinjaman walaupun sedikit demi sedikit.
Jika dahulu beria-ia mendapatkan pinjaman, sewajarnya sekarang beria-ia juga untuk membayar balik pinjaman.
Peluang diberikan sudah dinikmati.
Jangan pula menidakkan peluang rakyat Malaysia yang lain.