KUALA LUMPUR - Tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengatasi masalah polemik agama seperti Akta Keharmonian Negara buat masa ini, memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy berkata, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan yang sama rata serta adil.
Menurutnya, diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit, tempat lahir atau jantina.
"Pada masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
"Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa, antara lain, di bawah Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut.
"Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang Religious Harmony Act bagi mengatasi masalah polemik agama yang makin berleluasa di negara kita sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, mereka yang melakukan kesalahan juga boleh didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.
Ujarnya, bagi yang melakukan kesalahan menyebut perkataan-perkataan atau melakukan perbuatan-perbuatan lain dengan niat sengaja hendak melukakan perasaan agama seseorang, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, pendakwaan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan boleh dikenakan bagi mana-mana individu yang melakukan kesalahan menyebabkan, atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
"Bagaimanapun, sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan kebencian atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” jelasnya.