Ketua kampung anjur Jualan Rahmah demi bantu mangsa banjir

Iklan
Kamarul (kiri) mengambil inisiatif menganjurkan Program Jualan Rahmah demi membantu penduduk setempat yang terkesan banjir baru-baru ini.

KUALA NERANG - Ketua kampung di Bukit Kura, Pedu di sini mengambil inisiatif mengadakan Jualan Rahmah Bergerak dengan tawaran barang keperluan pada harga 30 peratus lebih murah demi membantu penduduk setempat yang terkesan banjir bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Bukit Kura, Profesor Madya Dr Kamarul Azman Khamis berkata, pelbagai barangan keperluan ditawarkan termasuklah beras lima kilogram (kg) pada harga RM13, telur ayam sepapan (RM6) dan ayam hanya berharga RM10 setiap ekor

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan, barangan dibawa menggunakan dua lori itu habis terjual dalam masa empat jam bermula jam 2 hingga 6 petang di pekarangan rumahnya orang tuanya di Kampung Lubuk Merbau, di sini, pada Sabtu lalu.

"Saya rasa terpanggil untuk menganjurkan Jualan Rahmah Bergerak ini bagi membantu penduduk kampung terkesan banjir baru-baru ini, rata-rata mereka merupakan penoreh getah dan petani.

Iklan

"Selain banyak kelengkapan di rumah yang rosak dan mengalami kerugian, pada musim hujan ini mereka sangat terkesan kerana tidak dapat keluar menoreh getah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Kamarul yang juga Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School Of Government (GSGSG) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, beliau yang merupakan anak jati kampung itu akan sedaya upaya membantu penduduk kampung, sekali gus berharap inisiatif terbabit membantu mereka.

Iklan

Beliau menambah, selepas ini, dia merancang mengadakan jualan itu di beberapa tempat lagi terutama dalam kawasan Kuala Nerang demi membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan dengan lebih murah.

"Saya juga berhasrat membantu mangsa banjir yang kurang upaya dan uzur dengan memberikan sumbangan berupa makanan,"katanya.

Sementara itu, penduduk, Salmah Said, 56, berkata, dia yang terkesan akibat banjir melanda kediamannya baru-baru ini berasa bersyukur apabila berpeluang membeli barangan dapur pada harga lebih murah.

Menurutnya yang merupakan ibu tunggal, banyak barang dalam kediaman mengalami kerosakan akibat ditenggelami air kira-kira satu meter, sekaligus jualan terbabit sedikit sebanyak meringankan bebannnya.