[VIDEO] Bukan RM10 juta, Zuraida hanya perlu bayar RM100,000 kepada PKR

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin hanya perlu membayar RM100,000 berbanding RM10 juta, berhubung perlanggaran syarat bon parti itu, di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk See Mee Chun memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian daripada rayuan Zuraida, 66, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar RM10 juta.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan sebulat suara berkenaan, Mee Chun yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, jumlah RM10 juta yang ditetapkan sebelum ini, adalah tidak munasabah.

"Kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa terdapat pelanggaran bon oleh perayu.

Iklan

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati RM10 juta bukanlah pampasan yang munasabah dan tidak boleh ditafsirkan sebagai sesuai sebaliknya ia bersifat berlebih-lebihan serta melampau,” katanya.

Hakim ini berkata, walaupun terdapat kepentingan sah parti untuk mengekalkan kedudukan politiknya, namun RM10 juta dilihat tidak sepadan dengan kepentingan parti dalam penguatkuasaan perlanggaran bon.

Iklan

Menurutnya, sebelum ini pihak responden menyatakan, RM10 juta tidak digunakan dalam satu kerusi sahaja tetapi merangkumi 222 bahagian parlimen.

Disebabkan perkara itu, beliau berkata, tuntutan jutaan ringgit itu tidak sepadan dengan perkhidmatan perayu sebagai ahli Parlimen, selama 22 bulan.

Katanya, mahkamah berpendapat jumlah yang perlu dilunaskan, perlu mengambil kira jumlah maksimum yang dibelanjakan dalam PRU-14 bagi kerusi parlimen iaitu RM200,000.

"Ia turut menyentuh khidmat perayu sebagai ahli Parlimen, memberi sumbangan kepada parti dan mengikuti kempen Pilihan Raya Umum ke-14, selama 22 bulan.

"Kami mendapati, hakim Mahkamah Tinggi secara terang-terangan salah kerana membenarkan tuntutan responden sebanyak RM10 juta.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh mengabaikan pelanggaran bon oleh perayu dan kami mengubah jumlah itu kepada RM100,000,” katanya yang memerintahkan responden membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Zuraida.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun hadir mewakili Zuraida berkata, panel hakim berpendapat kadar yang munasabah bagi perbelanjaan PRU-14 bagi setiap parlimen ialah RM200,000.

"Justeru itu, mengambil kira 22 bulan Zuraida menjadi Menteri dan wakil rakyat PKR, maka mahkamah memutuskan jumlah yang sesuai ialah RM100,000,” katanya ketika sidang akhbar.

Sementara itu, peguam, William Leong Jee Keen dan Navpreet Singh bagi pihak PKR berkata, mereka akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada mahu memfailkan rayuan berhubung keputusan ini.

Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Pada 2020, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman, dengan mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang telah ditandatanganinya.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon pada PRU-14 pada 2018.