Kemuka 6 syor tangani kenaikan harga insurans, takaful

Iklan
Suhaizan (tengah) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen mengemukakan enam syor bagi menangani kenaikan harga insurans dan takaful di negara ini.

Pengerusinya, Suhaizan Kaiat berkata, ia termasuklah memperkenalkan pilihan bayaran co-payment, mekanisme untuk mengawal harga perkhidmatan kesihatan, mempercepatkan pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG), inisiatif Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mempercepatkan penubuhan Dana Kesihatan Negara dan pelaksanaan kenaikan harga secara berperingkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu dibuat setelah mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang berkaitan pada 10 Disember lalu, bagi meneruskan komitmen dan usaha untuk membantu kerajaan dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara.

"Kerajaan perlu meneliti semula dasar-dasar sedia ada dengan memperkenalkan pendekatan seperti pilihan bayaran co-payment. Melalui model ini, kos rawatan dapat dikongsi antara penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dengan pemegang polisi serta peserta takaful.

Iklan

"Pendekatan ini diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kewangan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

"Ini juga memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful untuk menentukan tahap perkhidmatan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

Iklan

Jelas beliau, kerajaan juga perlu merangka mekanisme yang lebih menyeluruh untuk mengawal harga perkhidmatan kesihatan.

Langkah ini katanya, bertujuan untuk memastikan struktur harga yang lebih telus dan adil, sekali gus mengelakkan beban kewangan yang tidak wajar kepada pesakit merangkumi pemantauan berterusan terhadap kos ubat-ubatan, rawatan dan prosedur perubatan.

Selain itu, KKM perlu mempercepatkan pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG) bagi mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur diberikan seterusnya membolehkan pengurusan kewangan serta pembayaran yang lebih efisien.

"DRG akan menjadi pemangkin kepada kecekapan sistem kesihatan negara serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana kesihatan.

"Kementerian juga perlu memperhebatkan usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif Rakan KKM. Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu dalam menyokong transformasi kesihatan negara.

"Pendekatan ini juga membuka ruang untuk inovasi dan sokongan yang lebih meluas dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.

Suhaizan juga meminta agar KKM mempercepatkan usaha untuk menubuhkan Dana Kesihatan Negara bagi memastikan pembiayaan kesihatan negara terjaga.

Dana ini katanya, bertujuan menyediakan sumber kewangan yang mapan bagi memenuhi keperluan perubatan rakyat serta menampung peningkatan kos rawatan.

Selain itu, dana berkenaan mampu mengurangkan beban kewangan isi rumah, terutama dalam kalangan golongan rentan.

"Akhir sekali, kerajaan perlu merancang pelaksanaan kenaikan harga secara berperingkat terhadap perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin kompleks.

"Langkah ini termasuklah penambahan kapasiti hospital, peningkatan tenaga kerja kesihatan dan penyediaan infrastruktur serta teknologi perubatan yang lebih moden.

"JKPK Kesihatan yakin bahawa syor-syor ini mampu menangani cabaran kesihatan semasa dan akan datang. Usaha ini bukan sekadar meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, tetapi juga menjadikannya lebih inklusif, mesra pengguna dan mapan,” jelasnya.

Beliau percaya, dengan kerjasama pelbagai pihak, Malaysia berpotensi menjadi contoh negara dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan komprehensif dan berpusatkan rakyat.