SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan negeri menilai semula dasar kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan Selangor seharusnya mencari jalan penyelesaian yang lebih holistik bagi meringankan beban rakyat terutama dalam keadaan bebanan kos sara hidup semakin tinggi.
"Keangkuhan kerajaan Selangor yang tetap mahu melaksanakan kenaikan cukai taksiran merupakan suatu tindakan gopoh dan menyusahkan rakyat.
"Apakah yang membuatkan kerajaan Selangor terburu-buru melaksanakan dasar sebegini, sedangkan realitinya kesihatan kewangan rakyat masih kritikal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohamed Sukri memberitahu, cabaran pada tahun depan memperlihatkan keadaan ekonomi rakyat semakin memburuk.
Ujar beliau, rakyat bukan sahaja dikenakan cukai membebankan, bahkan beberapa subsidi yang sebelum ini membantu meringankan beban telah dihapuskan.
"Lebih buruk lagi, situasi ini mencetuskan ketidaktentuan harga barangan yang sudah tentu semakin menghimpit kehidupan rakyat," jelas beliau.
Jelasnya, kerajaan negeri menerusi ucapan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa pembentangan Belanjawan 2025 negeri ini menyatakan mampu menambah rizab semasa sebanyak RM751.46 juta dengan rizab terkumpul sebanyak RM4.37 billion.
"Apa yang mahu dibuktikan kepada rakyat jika masih terus memerah wang rakyat dengan dasar kenaikan cukai taksiran?.
"Ini membuktikan kerajaan negeri Selangor tidak pandai mencari sumber pendapatan, sebaliknya hanya mengharapkan hasil premium tanah dan cukai daripada rakyat untuk meneruskan kelangsungan," tambah beliau.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, Selangor akan menaikkan cukai taksiran sehingga 25 peratus berkuat kuasa 1 Januari depan selepas 20 tahun.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, nilaian baharu itu diluluskan kerajaan negeri selepas penangguhan pelaksanaannya pada 2019.