KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mempertingkatkan penguatkuasaan serta pemantauan di lokasi terdapatnya bahan mineral unsur nadir bumi (REE) apabila ia dikesan dilombong secara haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan merupakan negeri kedua selepas Terengganu yang mempunyai bahan mineral REE terbanyak iaitu di Gua Musang dan Jeli.
"Pada Isnin lalu melalui Operasi Khazanah Khas 1/24, seramai 29 ditahan melibatkan tujuh hingga sembilan penduduk tempatan serta selebihnya adalah warga asing.
"Serbuan yang dilakukan di Hutan Simpan Kekal Lebir, Bukit Perlai, Gua Musang itu turut menemui satu jentolak, eksebator mini, compressor besar, bahan-bahan dipercayai REE dua kolah, 140 guni (REE), beg bercampur bahan kimia (15), alat ujian air makmal, kertas kerja kiraan dan buku rekod," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau kesemua tangkapan disiasat bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Ujarnya, manakala Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan diminta polis untuk melakukan siasatan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 susulan aktiviti disyaki pelombongan haram yang dilakukan di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Fadzli memberitahu, pihaknya menghargai dan berterima kasih kepada pihak Polis diatas kejayaan mereka melaksanakan Operasi Khazanah Khas 1/24 itu.
"Kami juga memohon bantuan orang ramai agar menyalurkan maklumat jika ada mengesan aktiviti yang mencurigakan di kawasan-kawasan terlibat.
"Ia adalah demi menjaga khazanah rakyat terutama di Kelantan," katanya.
Pada Selasa, media tempatan melaporkan polis menahan 55 individu ketika membongkar kegiatan perlombongan bahan mineral REE disyaki secara haram di Gua Musang sebelum bahan itu dikumpul serta diproses di Banting, Selangor untuk dieksport ke luar negara, kelmarin.
Semua mereka ditahan menerusi Operasi Khazanah Khas 1/24 dalam tiga serbuan berasingan dengan dua serbuan di Gua Musang dan satu serbuan di Banting bermula jam 5.40 pagi.
Serbuan pertama dijalankan di sebuah lombong REE dipercayai beroperasi secara haram di FELDA Aring 8, Gua Musang pada jam 5.40 pagi sebelum menyerbu sebuah stor di lokasi berhampiran pada jam 8.40 pagi.
Serentak dengan serbuan itu, anggota polis menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perusahaan Olak Lempit, Banting yang disyaki menjadi lokasi transit bahan REE yang disyaki dilombong secara haram di Gua Musang.