WTF 2024: Pearly-Thinaah kalah melawan

Iklan
Pearly (kanan) dan Thinaah terpaksa akur tewas kepada pasangan Jepun dalam aksi pertama WTF di China pada Rabu. Foto Agensi.

IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk bermula positif tidak kesampaian setelah kalah dalam aksi pertama Kumpulan A Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China sebentar tadi.

Pasangan negara yang berada di ranking keenam dunia terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu.

Iklan
Iklan

Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada Pearly-Thinaah yang tidak memberi laluan mudah kepada pasangan dari Jepun itu yang berstatus keempat dunia.

Mereka membuka set pertama dengan langkah kanan apabila tenang menguasai perlawanan sebelum menang 21-13.

Iklan

Menjengah dalam permainan kedua, pasangan dari negara Matahari Terbit itu lebih bertenaga dalam corak permainan mereka sambil ditentang sengit Pearly-Thinaah.

Ternyata kelebihan memihak Matsuyama-Shida yang mengawal permainan dengan baik untuk menang 21-17 bagi membawa saingan ke permainan penentuan.

Iklan

Kedua-dua pasangan kemudian meneruskan aksi bertenaga mereka apabila saling bertukar mata selain rali panjang.

Pengalaman nyata menjadi sandaran Matsuyama-Shida apabila mengesahkan kemenangan 21-18 dalam tempoh 74 minit permainan yang cukup sengit dan mendebarkan.

Menerusi kemenangan tersebut melebarkan lagi jurang kemenangan Matsuyama-Shida kepada 11 berbalas satu ke atas Pearly-Thinaah.

Kejohanan berprestij penutup musim itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.11 juta).