KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang untuk memasukkan silibus pendidikan tentang haid untuk memberikan kesedaran kepada semua peringkat umur bagi mengelakkan stigma negatif tentangnya.
Young Syefura Othman (PH-Bentong) berkata, kesedaran tentang pengurusan haid masih kurang terutamanya dalam kalangan remaja.
Menurut beliau, terdapat kes remaja perempuan yang ingin ponteng sekolah apabila datang haid, menunjukkan ia masih menjadi halangan mental serta mengganggu persediaan pembelajaran mereka.
"Menurut Laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), secara global, peratusan sekolah yang cakna tentang pendidikan haid ini hanya 39 peratus. Masih terdapat banyak sekolah tidak mempunyai tong sampah khas untuk sisa buangan haid di dalam tandas perempuan serta persekitaran yang kondusif.
"Malah masih terdapat stigma dalam kalangan guru-guru yang tidak mempercayai pelajar itu mengalami haid dan membuat pemeriksaan yang tidak sepatutnya. Ini menyebabkan ramai pelajar merasa malu dan tidak mahu berkongsi perihal haid mereka sedangkan ia perkara asas tentang kesihatan.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau turut menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan Silibus Pendidikan Kesihatan dan Sosial (PEERS) bagi sekolah rendah dan menengah yang akan digunakan dalam Kurikulum 2027.
Menurutnya, banyak syor tambahan yang bagus untuk diambil perhatian khususnya soal mendidik kanak-kanak tentang sentuhan selamat dan tidak selamat khususnya bagi ahli keluarga serta orang-orang yang dikenali.
"Ini sangat mencabar kerana kebiasaannya anak-anak ni mempercayai ahli keluarga mereka.
"Jadi sekiranya ia turut dimasukkan dalam silibus, perlu ada mekanisme agar sekiranya berlaku kecurangan dalam keluarga, anak-anak dapat menjadikan sekolah tempat yang selamat untuk bercerita kepada guru dan mendapatkan bantuan yang sepatutnya,” jelasnya.
Young Syefura turut bersetuju dengan syor jawatankuasa untuk turut memberi penekanan kepada isu menghina fizikal dan mengejek yang sering berlaku yang akhirnya menyumbang kepada kes buli seawal usia di sekolah rendah.
"Sekiranya tiada intervensi awal, kegagalan pengurusan emosi dan komunikasi yang berkesan akan menyebabkan perbuatan buli ini merebak ke sekolah menengah serta pengajian tinggi.
"Penekanan terhadap perkara ini bertepatan dengan Garis Panduan PEERS Kebangsaan iaitu kemahiran kendiri, dalam membuat keputusan, meminta pertolongan, hak dan tanggungjawab serta pengurusan emosi yang berkesan,” katanya.