SEOUL - Polis Korea Selatan bertindak menyerbu pejabat Presiden Yoon Suk-yeol dan beberapa jabatan polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kegagalan beliau melaksanakan undang-undang tentera, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Serbuan dilakukan di Pejabat Polis Metropolitan Seoul dan Pasukan Pengawal Polis Parlimen, lapor Agensi Berita Yonhap.
Laporan menyebut Presiden Suk-yeol tidak berada di bangunan pejabatnya semasa serbuan dijalankan.
Pada 3 Disember, Suk-yeol mengisytiharkan undang-undang tentera sambil mendakwa parti pembangkang terlibat dalam 'aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan.
Bagaimanapun, Parlimen menolak pengisytiharan itu dan mengundi untuk membatalkan undang-undang tentera berkenaan.
Speaker Parlimen, Woo Won-shik kemudian mengisytiharkan bahawa pengisytiharan presiden tidak sah susulan undian oleh ahli Parlimen.
Suk-yeol menarik balik pengisytiharan undang-undang tentera dan memohon maaf kepada rakyat.
Beliau kemudiannya dilarang meninggalkan negara sementara siasatan terhadap insiden itu diteruskan.
Dalam pada itu, bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun ditahan berkaitan siasatan terhadap kemungkinan kes pengkhianatan. - Bernama-Sputnik/Ria Novosti