Bunuh anak: Hukuman penjara 40 tahun terhadap suami isteri kekal

Iklan
Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 40 tahun ke atas pasangan suami isteri yang didapati bersalah membunuh anak perempuan mereka berusia 22 tahun pada 2016. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 40 tahun ke atas pasangan suami isteri yang didapati bersalah membunuh anak perempuan mereka berusia 22 tahun pada 2016.

Panel hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, disertai hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara menolak rayuan yang difailkan Anuar Yusof dan Murni Ahmad.

Iklan
Iklan

Hakim Abang Iskandar berkata, sabitan pasangan itu adalah selamat, dan bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan jelas menunjukkan niat mereka untuk membunuh Siti Hajar.

Mahkamah turut menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula hukuman mati, dan mengekalkan hukuman 40 tahun itu, yang dilihat wajar.

Iklan

Anuar, 57, dan Murni, 42, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2021 kerana membunuh Siti Hajar di sebuah rumah di Taman Semarak, Binjai Chukai, Kemaman, Terengganu, pada jam 10.45 malam, 26 April 2016, dan mereka dijatuhi hukuman mati.

Semasa kematiannya, berat Siti Hajar hanya 18kg, dan arwah tinggal bersama bapa kandungnya (Anuar) dan ibu tiri (Murni), seorang kakak dan seorang adik lelaki di sebuah rumah sewa sejak 2008.

Iklan

Mahkamah Tinggi sebelum ini melepas dan membebaskan dua anak pasangan itu yang turut didakwa atas tuduhan membunuh Siti Hajar. Rayuan pihak pendakwaan telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 2022 selepas pihak pendakwaan tidak dapat menyampaikan notis rayuan kepada mereka.

Tahun lepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan pasangan itu tetapi meringankan hukuman mati mereka kepada 40 tahun penjara.

Pakar forensik yang memeriksa mayat Siti Hajar mendedahkan bahawa wanita itu meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru dan dubur akibat penderaan, kelaparan serta pengabaian, dan dia juga mengalami 36 kesan gigitan manusia di seluruh badannya, termasuk belakang, tangan dan kaki serta bahagian kemaluan.

Dalam prosiding hari ini peguam Ghazali Ismail yang dibantu peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz berhujah bahawa pertuduhan ke atas pasangan itu harus dikurangkan bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Roshan Karthi Kayan yang cuba mengembalikan hukuman mati berkata, sifat jenayah itu amat mengerikan, belum pernah berlaku dalam negara sebelum ini. - Bernama