TUMPAT - Stok ikan dijamin mencukupi sekali gus mampu menampung permintaan pengguna sepanjang musim tengkujuh yang sedang melanda negara ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (Pembangunan), Rashima Baharuddin berkata, hal ini kerana stok penimbal bekalan ikan untuk musim tengkujuh masih mencukupi.
"LKIM melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan nelayan, kita telah menyediakan stok simpanan ikan sebanyak 343 tan metrik.
"Selain itu, hasil kerjasama dengan lima syarikat utama dalam kalangan pemain industri kita mengumpulkan sebanyak 9,600 tan metrik stok simpanan bekalan ikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Skuad Ihsan Madani dan Penyampaian Bantuan Banjir Nelayan Daerah Tumpat di Kompleks LKIM Geting di sini pada Rabu.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan stok simpanan bekalan ikan termasuk segar beku adalah sekitar 10,150 tan metrik.
Ujarnya, pada masa sama LKIM tidak menggalakkan nelayan turun ke laut pada ketika ini berikutan gelombang kedua tengkujuh baru bermula tetapi tidak boleh menghalang sekiranya mereka masih berkeras untuk turun mencari rezeki.
Dalam perkembangan lain, Rashima berkata, sektor perikanan negara mengalami kerugian lebih RM594,000 sepanjang bencana alam melanda negeri-negeri terlibat.
Menurut beliau, ia melibatkan banjir, ribut dan hakisan pantai.
"Daripada jumlah itu Kelantan merekodkan kerugian tertinggi yang dianggarkan bernilai RM252,900.
"Sepanjang tempoh itu seramai 829 nelayan dan 53 usahawan yang mengusahakan hasil laut terkesan dengan bencana tersebut.
"Di Kelantan seramai 633 orang nelayan telah terjejas dan Tumpat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 291. Selebihnya melibatkan kawasan Semerak di Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok,” ujarnya.