TEMERLOH - Sebanyak 319,193 nanas MD2 telah direkodkan setakat ini menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dekat Lanchang di sini.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, projek itu bermula pada 4 Julai 2023 dan sudah mula mengeluarkan hasil tuaian pertama pada Julai lalu.
Menurutnya, keluasan bertanam terkini adalah 76.2 hektar manakala keluasan berhasil ialah sebanyak 12.8 hektar.
"Pengeluaran hasil akan berterusan mengikut penjadualan berperingkat bagi memenuhi permintaan.
"Projek tanaman nanas MD2 bawah PPP Felda melibatkan tiga pertubuhan koperasi peneroka iaitu Felda Damar, Felda Lakum dan Felda Lembah Klau.
"Pada masa yang sama, Agrobank turut terlibat sebagai pengurus dana dan pemberi pinjaman 'operational expenses'," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata sedemikian susulan lawatan kerja ke TPKM di sini baru-baru ini.
Ujarnya, Aqina Fruits juga sebenarnya sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencari kalibrasi bagi mendapatkan kualiti MD2 terbaik dalam tempoh penuaian hasil yang lebih singkat.
"Tempoh tuaian biasa varieti MD2 memakan masa minimum 14 bulan," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada keseluruhannya, projek tanaman itu PPP Felda adalah sangat baik kerana ia dapat memberi pendedahan, hasil tambahan serta faedah sampingan kepada para peserta dalam kalangan anggota koperasi.
Katanya, peserta terlibat dapat menikmati dividen tahunan sekitar RM1,000 bagi setiap ketua keluarga menerusi program tersebut.
"Ini membuktikan bahawa projek tanaman nanas mampu memberikan impak mobiliti sosial kepada masyarakat menerusi peningkatan pendapatan.
"Ia sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang berhasrat meningkatkan peluang ekonomi dan taraf hidup masyarakat luar bandar," tambahnya.
Ujarnya, LPNM juga berharap model terbabit dapat digarap lebih meluas oleh para pemain industri nanas di negara ini kerana ia boleh memberi limpahan rezeki buat rakyat serta pekebun kecil terlibat.