Dua taman eko rimba di Besut rosak teruk akibat banjir

Iklan
Hujan lebat pada akhir bulan lepas menyebabkan kepala air dan banjir yang merosakkan banyak kemudahan di Lata Tembakah. Gambar hiasan

JERTIH - Dua taman eko rimba di Hulu Besut dan Jabi di sini mengalami kerosakan teruk akibat banjir baru-baru ini membabitkan kerugian bernilai kira-kira RM1 juta, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Norhaidi Yunus.

Beliau berkata, hujan lebat pada akhir bulan lepas menyebabkan kepala air dan banjir yang merosakkan banyak kemudahan di Lata Tembakah dan Lata Belatan, yang merupakan pusat pelancongan popular di daerah Besut.

Iklan
Iklan

"Antara yang rosak termasuk struktur jambatan gantung dan sistem paip air bersih di kedua-dua taman ekorimba berkenaan, selain trek pejalan kaki dan kemudahan istirahat seperti meja dan bangku batu," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Norhaidi berkata, sebanyak 18 buah chalet serta pos pengawal di Lata Tembakah turut dipenuhi lumpur setebal lapan hingga 13 sentimeter, dipercayai kesan runtuhan tebing di hulu sungai.

Iklan

Beliau berkata, sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Terengganu akan terus menutup taman ekorimba yang terjejas sehingga kerja baik pulih selesai sepenuhnya sebelum dibuka kepada pengunjung.

"Proses pembersihan kawasan yang terjejas dengan lumpur akan dilaksanakan segera," katanya sambil memberitahu semua taman ekorimba di negeri ini telah ditutup sejak 1 November lepas sebagai langkah awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). - Bernama

Iklan