Peniaga jual daging babi di pasar malam dikompaun

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa berkaitan peniaga jual daging babi di pasar malam.

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kompaun terhadap peniaga yang menjual daging babi di tapak pasar malam Setia Alam pada Sabtu lalu.

Tindakan kompaun sebanyak RM300 terhadap lelaki itu dijalankan penguat kuasa MBSA kira-kira jam 6 petang hari sama.

Iklan
Iklan

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, hasil semakan mendapati peniaga terbabit tidak berlesen dan berniaga di zon yang rata-ratanya peniaga Melayu.

"Kita telah mengeluarkan kompaun dan telah diberikan amaran untuk tidak berniaga di pasar berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Mohd Azhar memberitahu, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sita sekiranya peniaga masih berdegil.

Menurut Mohd Azhar, terdapat syarat-syarat dan peraturan yang mesti dipatuhi semua peniaga pasar malam di bawah kendalian MBSA.

Iklan

"Antara syarat itu termasuklah peniaga tidak dibenarkan menjual makanan yang tidak halal," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, MBSA amat mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan daripada orang awam atau peniaga berkaitan terutama membabitkan isu sensitif seperti ini.

"Kadang-kadang kita kenal pasti ada peniaga yang mengambil kesempatan tidak mematuhi peraturan dengan berniaga tidak berlesen.

"Apabila tidak berlesen ini, kebanyakannya memang tidak mengikut syarat-syarat ditetapkan dan saya mengharapkan kepada semua peniaga supaya mengikut peraturan dan juga sensitif dengan keadaan sekeliling.

"Sekiranya hendak berniaga, perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan masalah kepada peniaga lain," tambah beliau.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang wanita mempersoalkan tindakan peniaga menjual daging babi secara terbuka di Pasar Malam Setia Alam di sini.

Isu itu ditularkan individu berkenaan menerusi video berdurasi 30 saat di aplikasi TikTok pada Isnin.

Video itu memaparkan keadaan dalam pasar malam berkenaan dengan sebuah gerai menjual 'pork crispy'.