KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan sebuah hospital swasta di Selangor yang menahan jenazah bayi selama dua minggu kerana kegagalan ibu bapanya menjelaskan bil hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan itu dilakukan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
"Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan untuk pihak berwajib yang menjalankan siasatan termasuk CKAPS pun turun sama (menyiasat).
"Saya menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit.
"Jadi, saya mahu semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambah Dr Dzulkefly, isu itu tidak mudah kerana ada pelbagai dakwaan.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak untuk bersabar dalam mendapatkan fakta yang sebenarnya, sebelum membuat apa-apa andaian.
"Saya juga ingin mengucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit dan berharap semua pihak tidak menyebarkan cerita yang belum dipastikan kesahihannya," jelasnya.