BAYAN LEPAS - Malaysia telah dua kali terlepas peluang untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurutnya, berdasarkan unjuran Malaysia pada mulanya menjangkakan mencapai sasaran itu pada 2012, kemudian disemak semula kepada 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Bagaimanapun, katanya, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju menjelang tempoh 2027 hingga 2029.
"Mengikut unjuran-unjuran sebelum ini, Malaysia sepatutnya boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2026 tetapi gangguan seperti Covid-19 telah menjejaskan kemajuan.
"Namun mengikut unjuran dengan pertumbuhan sekarang dan juga kadar mata wang pada masa ini, kita jangka boleh menjadi negara berpendapatan tinggi seawal 2027, unjuran yang lebih praktikal ialah 2028.
"Namun dengan perancangan strategik yang lebih mampan yang dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia ke 13 ( RMK-13) bagi memastikan sasaran mendapatkan status tersebut tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi libat urus RMK-13 bersama Kerajaan Pulau Pinang di Pusat Konvensyen SETIA Spice di sini pada Rabu.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi sesebuah negara perlu mempunyai pendapatan negara kasar per kapita sebanyak AS$14,000.
Katanya, Malaysia perlu mencipta enjin pertumbuhan baharu yang lebih dinamik agar momentum kekal pada kadar yang lebih tinggi.
Jelasnya, pertumbuhan ekonomi mampan pada kadar empat peratus hingga lima peratus adalah penting bagi memastikan negara dapat menyesuaikan diri dengan status negara maju.