Libat urus diadakan sebelum putuskan tambah waktu bekerja jururawat - Dr Dzulkefly

Iklan
Waktu bekerja jururawat ditambah selama tiga jam di wad hospital di bawah arahan baharu SSPA. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Keputusan menambah waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital di bawah arahan baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), telah melalui beberapa pusingan libat urus termasuk dengan tujuh kesatuan sekerja termasuk persatuan jururawat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu tidak dibuat sewenang-wenangnya dan pandangan daripada pelbagai pihak telah diambil, kerana sedar isu kekurangan kakitangan telah lama membebani mereka yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Perkara ini kami (jemaah menteri) juga telah bincang dalam Kabinet dan saya sangat sedar dan insaf dengan apa (isu tambahan waktu bekerja) yang mereka bangkitkan.

"Kita akan teruskan libat urus ini kerana perkara ini telah dibuat dalam SSPA dan Kabinet dan Perdana Menteri pun (mahukan) supaya perkara ini dilaksanakan dahulu dan kita sedia menimbang keperluan ini sebab saya tahu (akan masalahnya)," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Iklan

Terdahulu, Senator Dr A Lingeswaran mencelah dan bertanyakan pendirian Dzulkefly mengenai tambahan waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital, berkuat kuasa 1 Disember ini.

Dr Dzulkefly berkata, biarpun dalam arahan baharu itu memerlukan jururawat bekerja lebih masa, namun kebajikan mereka tetap terjaga kerana ia dilaksanakan menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel, walaupun waktu kerja berubah kepada 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini.

Iklan

"Dulu 42 jam kerja itu tiada rehat, makan... Mereka terpaksa curi-curi masa atau ambil giliran. 45 jam kerja itu betul adalah tambahan, tapi pada waktu sama kita perlu tahu 45 jam kerja itu mengandungi waktu makan, waktu sembahyang, handing passing over tugasan atau syif," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di perkarangan Parlimen, Menteri Kesihatan itu berkata, kementeriannya menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), telah mengambil keterangan berhubung dakwaan sebuah hospital swasta menahan jasad bayi yang meninggal dunia selama dua minggu, kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital.

Beliau berkata, semua pihak diminta bertenang, memandangkan pihak berkenaan sudah dikerah menjalankan siasatan di samping mengucapkan takziah kepada kepada keluarga terbabit.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly memaklumkan pihaknya akan membawa dan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), berkaitan menyelaraskan penetapan caj konsultasi perubatan pada persidangan Parlimen akan datang. - Bernama