SHAH ALAM - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diutamakan kepada pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet-kadet di peringkat sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya memutuskan perkara itu menerusi Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan.
Menurut beliau, pemilihan pelajar akan diselaraskan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).
"Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan lantas dimaklumkan mengenai kemajuan pelaksanaan program membina kefahaman dan penghayatan erti kenegaraan yang sangat penting kepada setiap rakyat Malaysia.
"Antara yang dibentangkan adalah status pelaksanaan PLKN 3.0 bermula 2025 di mana saya menekankan kepentingan program ini dilaksanakan dengan teliti dan menambah baik pendekatan sesuai peredaran semasa.
"Ia penting agar program ini mampu melahirkan generasi anak muda Malaysia yang mempunyai daya tahan tinggi, cekal menghadapi rintangan hidup dan mampu menyumbang kepada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Oktober lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilapor berkata, PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan.
Beliau berkata, program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
Sementara itu, Anwar menambah, penting untuk usaha menyeluruh digembleng dalam dalam memperkukuh jati diri.
"Terkait peranan setiap rakyat dalam membina negara bangsa, adalah mustahak usaha menyeluruh digembleng dalam memperkukuh jati diri, kekuatan iltizam bersama memajukan negara dan kesediaan untuk mempertahankan tanah air tercinta,” ujarnya.