PENGENDALI Timor Leste, Simon Elissetche tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukannya kepada Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Menurutnya, kekalahan tersebut amat mengecewakan selepas mampu beraksi baik termasuk mendahului Malaysia pada separuh masa pertama.
Iklan
Iklan
"Saya kurang gembira dengan kekalahan ini dan dengan beberapa keputusan yang dibuat pengadil.
"Namun, kami telah cuba berikan yang terbaik. Kami mampu bertahan dalam beberapa situasi ketika Malaysia mengawal perlawanan, namun akhirnya kami tewas.
"Kami harap perlawanan ini membantu kami lebih bagus untuk perlawanan seterusnya menentang Kemboja dan Singapura," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan pada minit ke-37 sebelum skuad negara dikejutkan dengan dua gol pantas daripada Olagar Xavier dan Joao Pedro pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Namun, Paulo Josue menyelamatkan maruah negara dengan dua gol pada separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata berharga buat Malaysia.