BERCERITA mengenai hutang memang tak akan ada titik noktah. Bukan mudah nak menjalani kehidupan jika kita sudah terperangkap dengan hutang di kiri dan kanan.
Bangun tidur pun masih memikirkan hal hutang. Nak tidur fikirkan hutang, dalam tidur termimpi-mimpikan hutang.
Kalau bukan kita yang berhutang, orang lain pula berhutang dengan kita dan lebih perit apabila terpaksa menagih hutang tersebut seolah-olah kita pula yang berhutang.
Inilah masalah sering dihadapi kebanyakan orang. Hutang boleh memberikan harapan baharu dalam kehidupan dan hutang juga boleh memusnahkan kehidupan termasuk keluarga kita sendiri.
Hutang hadir dalam pelbagai bentuk. Ada hutang pendidikan, hutang beli kenderaan, hutang beli rumah dan hutang komitmen seperti kad kredit. Itulah hutang yang menjadi peneman kita.
Itu hutang yang nampak, bagaimana pula jika terjerat dengan hutang ciptaan sendiri.
Misalnya berhutang kerana mahu berkahwin bagi memastikan majlis diidamkan meriah dan gah.
Memanglah seronok berhutang tapi anak sudah berderet, hutang kahwin masih belum habis dilangsaikan.
Pada pandangan Merak Jalanan, hutang itu okey selagi kita mampu menguruskan hutang tersebut dengan bijak.
Setiap bulan membayar tanpa gagal. Jika rasa tak mampu, janganlah pula menambah lagi hutang sedia ada.
Baru-baru ini kita turut mendengar kisah hutang beberapa individu yang terkenal.
Mereka berhutang tapi gagal melunaskan pinjaman sehingga harta benda milik mereka terpaksa disita pihak berkuasa. Itu satu contoh daripada puluhan kes lagi.
Ingatlah sekecil mana pun hutang, ia wajib dibayar kerana kita telah meminjam wang orang lain untuk kegunaan sendiri.
Sekiranya tidak mampu, berunding dengan pemberi hutang. Jangan sesekali lari daripada tanggungjawab membayar hutang.