PELETAKAN jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) agak mengejutkan terutama kepada ahli dan penyokong gabungan parti berkenaan.
Tanpa sebarang 'ribut' dan 'badai', pengumuman pelepasan jawatan secara tiba-tiba itu dibuat Naib Presiden Pas berkenaan seperti yang dilaporkan portal rasmi Pas pada Rabu.
Keputusan drastik tersebut juga menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi mengenai sebab beliau berbuat demikian dan implikasinya terhadap politik dalam Pas serta PN.
Salah satu spekulasi yang timbul adalah mengenai kemungkinan wujud pergolakan dalam PN hingga menyebabkan Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam meletakkan jawatannya.
Lebih mencurigakan, peletakan jawatan terbabit dibuat hanya dua hari selepas Majlis Tertinggi PN bermesyuarat untuk mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN manakala jawatan Ketua Penerangan gabungan terbabit pula diisi oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mohamed Azmin sebelum ini dalam satu kenyataan berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan turut memaklumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.
Beliau berkata, Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.
Jadi adakah kerana 'tidak sebulu' atau tidak bersetuju dengan pelantikan enam jawatan tersebut yang membuatkan Ahmad Samsuri mengundur diri? Atau mungkin kerana beliau mahu memberi laluan kepada muka baharu dalam Pas untuk menggalas tanggungjawab berkenaan?
Semua persoalan yang timbul hanya akan terjawab menerusi kenyataan lanjut daripada Ahmad Samsuri dan kepimpinan PN.
Seperti yang dilaporkan, kepimpinan PN dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dalam masa terdekat.