Terima, beri rasuah kes tertinggi

Iklan
Azam Baki

SHAH ALAM - Kes terima dan beri rasuah, tuntutan palsu, salah guna kuasa dan kedudukan serta pengubahan wang haram menjadi kes utama yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, statistik dalam tempoh empat tahun bermula 2020, merekodkan tangkapan seramai 3,895 orang.

Iklan
Iklan

Jelasnya, kes menerima dan pemberi paling banyak direkodkan iaitu 2,230 orang membabitkan 1,778 penerima serta 452 pemberi.

"Ia diikuti jenayah tuntutan palsu (997 orang), salah guna kuasa (320 orang), pengubahan wang haram (71 orang) dan lain-lain kesalahan sebanyak 277 orang.

Iklan

"Dalam konteks ini, jenayah rasuah merupakan kategori kesalahan utama yang disiasat oleh SPRM dan kebanyakannya melibatkan transaksi kewangan sebagai habuan dan sogokan.

"Kesemua kategori jenayah ini melibatkan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dan kesalahan ditetapkan seperti yang tersenarai dalam jadual, Seksyen 137 Akta Kastam 1967 dan Bahagian III Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Azam berkata, kes rasuah berlaku disebabkan gabungan faktor individu, sosial dan sistemik yang saling berkait antaranya sifat tamak haloba dan keinginan untuk cepat kaya atau memperoleh kuasa.

Menurutnya, individu yang memiliki moral dan etika yang lemah cenderung untuk mengabaikan prinsip integriti, manakala tekanan hidup akibat desakan ekonomi atau gaya hidup yang tidak terkawal sering menjadi dorongan utama.

Katanya, dari sudut sistemik, kelemahan tata kelola serta kawalan dalaman dan kurangnya ketelusan dalam proses pentadbiran, perolehan atau kewangan turut memberikan peluang kepada pelaku rasuah.

"Apabila sistem tidak diwujudkan untuk mencegah, menutup ruang dan peluang rasuah atau mengesan salah laku, individu yang berpengaruh mudah memanipulasinya untuk kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

"Dalam konteks sosial, normalisasi budaya rasuah juga menjadi penyumbang utama,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam sesetengah masyarakat, rasuah dilihat sebagai cara biasa untuk mempercepatkan proses atau menyelesaikan masalah.

"Fenomena ini sering diperkukuhkan oleh persekitaran yang kurang berintegriti, di mana individu berasa terpaksa mengikuti arus demi memenuhi keperluan atau kehendak tertentu.

"Kekurangan pendidikan anti-rasuah di peringkat asas pula menjadikan masyarakat kurang sedar akan kepentingan integriti dan bahaya rasuah kepada pembangunan negara,” katanya.

Azam menjelaskan, rasuah yang diibaratkan sebagai barah dalam masyarakat memerlukan pendekatan strategik dan berfokus.

"Saranan utama SPRM untuk memperkukuhkan usaha menangani isu ini ialah meningkatkan kepakaran pegawai dalam penyiasatan termasuklah siasatan jejak kewangan rentas sempadan serta transaksi mata wang kripto.

"Selain itu, pertingkatkan kesedaran dan pendidikan awam, menggembleng kerjasama pelbagai pihak serta strategi pembanterasan rasuah nasional (NACS),” ujarnya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 pada 9 Disember, beliau berkata, tema Uniting with Youth Againts Corruption: Shaping Tomorrow’s Integrity dilihat satu inisiatif menggerakkan kesedaran golongan belia yang mempunyai impian dan aspirasi di seluruh dunia untuk memerangi rasuah.

"Kempen ini akan menguatkan suara bakal pemimpin integriti, membolehkan mereka menyatakan kebimbangan dan aspirasi mereka dengan harapan bahawa rayuan mereka akan didengar dan diambil tindakan.

"HARA 2024 turut memberi peluang memperbaharui komitmen terhadap usaha mencegah dan memerangi rasuah, di mana ia tidak lagi tanggungjawab satu entiti sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu, pelajar, masyarakat, pihak berkuasa, media, agensi awam dan swasta,” kata beliau.

Tegasnya, belia merupakan tonggak dan pelapis generasi masa hadapan.

"Perlu diakui, golongan ini mempunyai keupayaan luar biasa terutama dari segi tenaga dan daya fikir serta mampu menjadi agen perubahan.

"Menyedari peranan belia hari ini dalam memeta kemajuan negara pada masa akan datang, penekanan terhadap semangat antirasuah perlu diterapkan,” katanya.

HARA 2024 yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) bertujuan untuk membentuk masyarakat berintegriti di mana nilai-nilai etika, kejujuran dan keadilan ditekan serta diamalkan oleh semua lapisan masyarakat.