KEJATUHAN rejim Bashar al-Assad menandakan berakhirnya lebih lima dekad pemerintahan zalim keluarga Assad, yang meninggalkan luka mendalam dalam sejarah rakyat Syria.
Sejak zaman Hafez al-Assad sehingga pemerintahan Bashar, rakyat Syria hidup dalam bayang-bayang ketakutan, kehilangan hak-hak asasi mereka dan berdepan dengan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan.
Revolusi yang bermula pada tahun 2011 bukan sekadar pemberontakan, tetapi sebuah seruan untuk kebebasan, keadilan dan maruah.
Selama bertahun-tahun, rakyat Syria berjuang tanpa henti, meskipun diancam pengeboman, kelaparan dan kehilangan orang tersayang. Setiap langkah perjuangan mereka adalah bukti keberanian dan tekad untuk melawan kezaliman.
Penderitaan yang tidak terbayangkan
Pemerintahan Bashar al-Assad dikenali dengan kezaliman yang tidak mengenal batas. Ribuan rakyat Syria yang tidak bersalah ditahan di penjara Sadnaya dan mereka diseksa dengan kejam sehingga hilang kewarasan.
Banyak keluarga tidak mengetahui nasib orang tersayang yang ditahan, hidup dalam ketidakpastian selama bertahun-tahun.
Dalam tempoh hanya 24 jam selepas pembebasan Syria, dunia mula mengetahui rahsia mengerikan rejim Assad.
Sel-sel bawah tanah yang gelap dan sempit ditemui, digunakan untuk menahan dan menyeksa orang awam.
Kesaksian mereka yang terselamat membongkar kekejaman yang melampaui imaginasi manusia – penderaan fizikal, psikologi dan seksual yang mengubah hidup mangsa selama-lamanya.
Lebih menyayat hati adalah penderitaan keluarga tahanan ini. Ada yang hanya mengetahui kematian orang tersayang setelah melihat jenazah yang tidak dapat dikenali akibat seksaan.
Trauma yang ditinggalkan oleh rejim ini akan mengambil masa yang lama untuk sembuh tetapi rakyat Syria tetap percaya bahawa keadilan akan ditegakkan.
Kisah ketabahan: Amani dan keluarganya
Di sebalik semua kesengsaraan ini, terdapat kisah-kisah ketabahan yang luar biasa. Amani, seorang ibu Syria yang kini tinggal di Sanlıurfa, Turkiye, adalah salah seorang daripadanya.
Suatu hari ketika pulang dari lawatan ke klinik pergigian bersama suami dan anak-anaknya, mereka menjadi mangsa serangan udara. Letupan itu menyebabkan kereta mereka melambung ke udara sebelum jatuh kembali ke tanah.
Dalam keadaan kacau-bilau, bapanya cuba menggerakkan kepala suaminya yang terkulai di stereng. Namun, serpihan bom telah menembusi otaknya dan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Kehidupan Amani berubah sekelip mata. Sebagai seorang ibu tunggal, beliau terpaksa meneruskan kehidupan demi anak-anaknya, meskipun menghadapi kesukaran yang tidak terbayangkan.
Harapan di tengah-tengah sokongan antarabangsa
Perjuangan rakyat Syria tidak dilakukan sendirian. Sejak awal revolusi, pelbagai organisasi kemanusiaan dari seluruh dunia telah berganding bahu membantu mereka. Antara yang menonjol adalah rakyat Malaysia, yang telah menunjukkan solidariti dan kasih sayang mereka kepada rakyat Syria melalui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Syria Care.
Syria Care dan NGO lain telah memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan makanan, perubatan, pakaian musim sejuk, pendidikan dan perlindungan kepada mangsa perang Syria.
Sokongan ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas mereka tetapi juga memberi mereka harapan bahawa rakyat Syria yang tertindas tidak dilupakan oleh masyarakat dunia.
Hubungan erat antara rakyat Malaysia dan Syria menjadi bukti bagaimana kemanusiaan boleh merentas sempadan.
Bantuan yang dihulurkan, meskipun dari negara yang jauh, memberikan kesan besar kepada perjuangan rakyat Syria, menunjukkan bahawa mereka tidak berjuang sendirian.
Pelajaran untuk dunia
Kisah Syria adalah peringatan tentang betapa pentingnya mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan kebebasan. Ia mengajarkan kepada kita bahawa di sebalik kegelapan, ada harapan.
Di sebalik kezaliman pula, ada keadilan yang menanti. Semoga pembebasan Syria menjadi titik permulaan untuk membina sebuah negara yang damai, bermaruah dan bebas daripada kezaliman.
Dunia harus terus menyokong perjuangan rakyat Syria dan belajar daripada ketabahan mereka bahawa walau seberat mana pun ujian, harapan tidak akan pernah padam.
Dengan solidariti antarabangsa yang terus kukuh termasuk sokongan daripada rakyat Malaysia, rakyat Syria kini mempunyai peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah – sebuah masa depan yang penuh dengan keadilan, keamanan dan kemanusiaan.
* Siti Sakinah Meor Omar Baki ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NGO Syria Care