Arab Saudi sah tuan rumah Piala Dunia 2034 - FIFA

Iklan
Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Sheikh Salman bin Ibrahim al-Khalifa (kiri) dan Menteri Sukan dan Belia Arab Saudi, Abdulaziz bin Turki Al Faisal, meraikan pengumuman tersebut. Foto Reuters

KEJOHANAN bola sepak antarabangsa, Piala Dunia 2034 akan diadakan di Arab Saudi, sementara Sepanyol, Portugal dan Maghribi akan menjadi tuan rumah bersama untuk kejohanan 2030, seperti yang disahkan oleh badan induk dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tiga perlawanan dalam kejohanan 2030 juga akan diadakan di Argentina, Paraguay, dan Uruguay bagi memperingati ulang tahun ke-100 kejohanan itu.

Iklan
Iklan

Tuan rumah bagi kedua-dua Piala Dunia ini disahkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Kongres FIFA pada Rabu, susulan undian yang diadakan.

Kesemua 211 negara anggota FIFA diwakili dalam mesyuarat itu melalui pautan video.

Iklan

Tuan rumah bagi kedua-dua kejohanan dan sambutan ulang tahun ke-100 pada 2030 disahkan melalui dua undian berasingan.

Undian pertama memilih Uruguay, Paraguay dan Argentina sebagai tuan rumah sambutan ulang tahun ke-100.

Iklan

Undian kedua mengesahkan tiga tuan rumah bagi 2030, serta penganugerahan kejohanan 2034 kepada Arab Saudi.

Negara-negara anggota memberikan undian mereka melalui 'acclamation' – tepuk tangan di hadapan kamera masing-masing melalui pautan video.

Dalam ketiga-tiga keputusan itu, hanya satu pilihan undian tersedia, dan sebelum proses undian secara 'acclamation' itu,Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, berkata:"Kesemua 211 [persatuan anggota] secara efektif telah memberikan undian mereka sebelum kongres."

Norway memilih untuk berkecuali kerana"kebimbangan terhadap proses bidaan Piala Dunia FIFA semasa" dan bukan kerana Arab Saudi dinamakan sebagai tuan rumah.

Persatuan Bola Sepak Switzerland juga meminta pemerhatian mereka dimasukkan dalam minit kongres.

Pada Selasa, FA Switzerland menyatakan, mereka akan meluluskan bidaan Arab Saudi untuk Piala Dunia 2034, tetapi menuntut hak asasi manusia dipantau oleh FIFA dan organisasi buruh antarabangsa.

Kesatuan Bola Sepak Denmark (DBU) pula memaklumkan, mereka menyokong keseluruhan pakej bagi kedua-dua bidaan Piala Dunia tetapi mahu FIFA memantau penambahbaikan hak asasi manusia.

Pengerusi DBU, Jesper Moller, berkata:"Kami ingin melihat lebih banyak bidaan untuk Piala Dunia 2030 dan 2034 dan kami mengkritik proses keseluruhan ini."

Arab Saudi telah dituduh melakukan 'sportswashing' dalam beberapa tahun kebelakangan ini - menggunakan perbelanjaan luar biasa dalam sukan untuk memperbaiki reputasi negara pengeluar minyak itu berkenaan rekod hak asasi manusia dan kesan terhadap alam sekitar.

Daripada 15 stadium yang dikenal pasti untuk menganjurkan perlawanan Piala Dunia 2034, hanya empat yang telah dibina setakat ini. - Awani/Agensi