Iktibar di sebalik hilangnya pulau seluas padang bola

Iklan
Pemimpin yang menjadi harapan rakyat perlu mengambil pengajaran daripada Batu Puteh. Foto hiasan

PADA 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah mengedarkan laporan setebal 217 muka surat kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ialah suruhanjaya berkenaan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan
Iklan

Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai oleh Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan ke-putusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Suruhanjaya tersebut menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 serta Seksyen 418 kanun yang sama dan mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan.

Iklan

Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Bagaimanapun, laporan RCI berkenaan menimbulkan ‘huru-hara’ kerana ada kalangan ahli politik yang mahu Perdana Menteri ketujuh itu didakwa kerana mengkhianati negara, namun negarawan itu menepis tohmahan tersebut.

Iklan

Semasa sidang akhbarnya pada Selasa, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak sama sekali menggadai kedaulatan Malaysia dan segala keputusan yang dibuat adalah demi bangsa, agama serta negara.

Malah jelas beliau, keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh diterima selaras dengan komitmen yang dibuat kepada negara lain dan Batuan Tengah yang dianugerahkan kepada Malaysia dianggap lebih berharga berbanding Pulau Batu Puteh, yang dianugerahkan kepada Singapura.

Beliau yang kecewa dengan tuduhan tersebut menyatakan bahawa jika beliau mengkhianati negara, maka seluruh Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail juga khianat.

Sementara itu, ditanya sama ada wujud ‘tangan ghaib’ di sebalik siasatan terhadap isu Pulau Batu Puteh, Dr Mahathir mendakwa mungkin ada pihak mahu melihat beliau menjadi ‘banduan’.

Luka lama masih terasa

Walaupun ada yang mengaitkan RCI itu dengan politik, mahu atau tidak kita harus akui bahawa kehilangan Batu Puteh seluas 8,560 meter persegi atau cuma sekitar satu padang bola antarabangsa adalah satu episod duka buat negara.

Pulau berkenaan mempunyai sejarah yang panjang dan kompleks, berkait rapat dengan soal kedaulatan antara Malaysia serta Singapura, justeru kehilangannya bermakna negara tiada hak ke atas kawasan tersebut.

Batu Puteh yang juga dikenali sebagai Pedra Branca merupakan sebuah pulau kecil terletak di timur laut Selat Johor, berhampiran Singapura.

Perlu diingatkan bahawa ia memainkan peranan penting dalam aspek geopolitik dan ke-selamatan untuk Malaysia kerana sebagai pulau strategik di Selat Johor, penguasaan terhadap Batu Puteh membantu negara meningkatkan kawalan terhadap laluan pelayaran yang sibuk.

Kehilangan satu lagi aset strategik itu mencerminkan cabaran dalam mempertahankan hak dan kepentingan negara di perairan yang menjadi laluan utama perdagangan global.

Dari sudut pandang ekonomi, Batu Puteh berpotensi mempunyai sumber daya maritim yang boleh dimanfaatkan dan penguasaan ke atas pulau berkenaan penting dalam konteks pengembangan ekonomi Malaysia.

Justeru, kita mengharapkan melalui laporan RCI tersebut, rakyat dapat mengetahui punca sebenar di sebalik kehilangan Batu Puteh dan mendedahkan sama ada terdapat kekurangan dalam strategi diplomat, komunikasi atau keputusan yang diambil ketika itu.

Melalui laporan itu juga, kita harapkan penjelasan dapat dibuat kepada rakyat Malaysia mengenai isu kedaulatan dan langkah seterusnya yang perlu diambil kerajaan bagi melindungi kepentingan negara.

Yang pasti, pemimpin yang menjadi harapan rakyat perlu mengambil pengajaran daripada Batu Puteh kerana kita tidak mahu lagi kedaulatan dan keselamatan negara tergadai kerana kecuaian di pihak Malaysia.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian